Sabtu, 27 Ogos 2011

Ibnu Hazm ~ Ulama' Yang Sibuk Bercinta

Lahirnya Seorang Ulama' teragung


Ibnu Hazm dilahirkan pada tahun 384 H / 7 November 994 M di Cordova, Sepanyol. Beliau ialah ulama fiqh dan filosofo terkenal di Andalusia pada zamannya.

Pendidik Wanita

Selama kecil, Ibnu Hazm tinggal di istana yang mewah. Ini kerana ayahnya ialah salah seorang menteri di zaman Khalifah Al-Mansur. Di dalam istana ada bahagian khas untuk kaum lelaki dan bahagian khas untuk kaum wanita. Kedua-dua bahagian ini cukup berasingan dan tidak ada jalan keluar masuk.

Di istana mewah inilah atau lebih tepatnya di bahagian sebelah wanitanya, Ibnu Hazm mendapat pendidikan awal beliau. Para wanita yang tinggal di situ mengajar beliau membaca dan menghafal Al-Quran. Kemudiannya beliau belajar menulis dan membentuk tulisan cantik.Malah mereka juga mengawal beliau dari melakukan apa sahaja perbuatan buruk dan turut mengajarnya etika hidup yang sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang anak atasan.

Bagaimanapun, kehidupan yang lunak ini tidak berpanjangan. Pada usianya 15 tahun, keluarganya ditimpa malang. Bapanya telah menjadi mangsa rebutan kuasa dalamj pemerintahan Bani Umaiyah yang memerintah Sepanyol pada waktu itu.

Allah telah mentakdirkan agar Ibnu Hazm menjadi seorang ulama dan tokoh ilmuwan yang besar dan berwibawa kerana kalau kehidupan yang lunak dan tidak  mencabar itu berpanjangan, Ibnu Hazm tidak mungkin menjadi seorang ulama sekuat itu. Biasanya kemewahan hidup yang melampau boleh menyebabkan seseorang itu lemah peribadi.

Jatuh Cinta

Ibnu Hazm pernah jatuh cinta sebanyak tiga kali. Cintanya yang pertama tumpah kepada jariah (pembantunya) lalu menikahinya ketika Ibnu Hazm berusia bawah 20 tahun.

Ketika isterinya yang lebih muda darinya itu meninggal dunia, ia larut dalam kesedihan dan menangis berbulan-bulan walaupun beliau mengatakan beliau adalah orang yang susah mengalirkan air mata. Beliau jatuh sakit sekian lama bahkan hilang sebahagian ingatannya. Namun kemudian beliau sembuh kembali.

"Demi Allah, hingga kini aku tidak pernah lagi merasai bahagia. kehidupan setelah pemergiannya tidak nyaman lagi. Aku terus mengenangnya dan tidak lagi menemukan kesenangan dari selainnya."

Sekali lagi, dengan demikian, Ibnu Hazm sendiri sibuk dalam cinta sepanjang hidupnya sebagaimana ia disibukkan oleh ilmu-ilmu agama seperti fiqih, tafsir, hadith dan teologi, bukan hanya perempuan sebagaimana tulisnya.

Ibnu Hazm menulis bahawa, 'Cinta awalnya permainan dan akhirnya kesungguhan. Ia tidak dapat dilukiskan tetapi harus dialami dan diketahui. Agama tidak menolaknya, syariat pun tidak melarangnya."

"Ketika masih remaja, aku jatuh cinta kepada seorang gadis berambut perang. Sejak itu aku tidak mengagumi  gadis berambut hitam meskipun pemiliknya berada di bawah matahari atau sangat molek. Itu kecenderunganku sejak saat itu. Diriku tidak pernah mengagumi lagi kecuali rambut perang. Itu pula kecenderungan ayahku."

Kalimah di atas merupakan pengakuan Ibnu Hazm dalam karyanya yang berjudul Tauqul Hamamah (Di Bawah Naungan Cinta). Ibnu Hazm berjaya menjadi sasterawan yang cukup disegani. Bukunya itu menjadi buku terlaris sepanjang abad pertengahan. Buku itu bukan sahaja menarik perhatian umat Islam tetapi juga kaum Nasrani di Eropah.

Padahal Ibnu Hazm dikenali sebagai salah satu ulama tersohor di abad pertengahan.

Menurut kenyataan Ibnu Hazm, cinta pertamanya bersemi ketika berusia 18 tahun. Sementara gadis pujaannya yang berambut perang berumur 16 tahun. Gadis itu begitu dikaguminya. Beliau menyatakan bahawa pujaannya itu seorang yang cantik, bertabiat baik, dan bertubuh sintal. Si gadis itu pun pandai menyanyi dan memetik kecapi yang menjadi kebiasaan ketika itu.

Ibnu Hazm tergila-gilakannya. Setiap hari beliau selalu menanti gadis itu melalui hadapan rumahnya. Seperti kisah remaja pada umumnya, kisah cinta Ibnu Hazm tiak kurang hebatnya, penuh dengan romantika. Jika dikejar, si gadis berlalu dengan malu-malu dan rona wajahnya menjadi merah. Tentang kelakuannya itu, Ibnu Hazm menulis: "Saya ingat bagaimana ketika saya selalu pergi ke ruangan tempat dia tinggal. Rasanya saya selalu ingin menuju pintu itu agar dapat dekat dengannya. Apabila dia melihat saya berhamporan pintu, denga lemah lembut dia pergi ke tempat lain. Saya pun mengekorinya hingga ke pintu ruangan tempat dia berada."

Ibnu Hazm, sebagaimana semua ulama' menyatakan bahawa cinta yang terbesar adalah cinta kepada Allah dan cinta sesama manusia yang dijalin kerana Allah SWT. Cinta sesama manusia, antara lain cinta antara lawan jenis jika terjalin kerana Allah pasti diliputi oleh kesetiaan dan kesucian.

Ibnu Hazm seorang pakar hukum Islam menulis pengalaman peribadinya yang lain: "Seandainya bukan kerana keyakinan bahawa dunia ini adalah tempat ujian dan negeri kekeruhan, sedangkan syurga aalah tempat ganjaran, kita akan berkata bahawa hubungan harmonis antara kekasih merupakan kebahagiaan tanpa kekeruhan, kegembiraan tanpa kesedihan, kesempurnaan cinta dan puncak harapan."

Tugu Ibnu Hazm yang diabadikan
Selanjutnya, ulama besar itu berkata: "Aku telah merasakan kelazatan dengan aneka ragamnya. Aku juga telah meraih pelbagai keuntungan. Tidaklah berada dekat kepada penguasa, tidak juga wujud setelah ketiadaan atau kembali ke pangkuan setelah berpergian jauh dan tidak juga rasa aman setelah mengalami rasa takut atau memperolehi harta yang dimanfaatkan, tidaklah semua itu, seindah hubungan harmonis/ asmara dengan kekasih/ lawan jenis kita.

Memandang Cinta


Menurut Ibnu Hazm, Cinta itu sukar dihuraikan. Tetapi pada orang yang jatuh cinta terdapat petanda.

Pertama, asyik memandang orang yang dikasihi.

Kedua, segera menuju ke tempat yang kekasih berada, sengaja duduk di dekatnya dan mendekatinya.

Ketiga, gelisah dan gugup ketika seseorang yang mirip dengan orang yang dicintainya.

Keempat, kesediaan untuk melakukan hal-hal yang sebelumnya enggan dilakukannya.

Adapun yang mencoreng cinta menurut Ibnu Hazm adalah melakukan maksiat dan menuruti hawa nafsu.





Wafatnya


Ibnu Hazm wafat pada tahun 456 H / 1064 M.








Ditaip semula dan diubahsuai daripada Kitab Lembaran Hidup Ulama' Warisan Ilmuwan Islam, karangan Muhammad Abdullah Suradi 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan