Sheikh Abdullah Fahim |
Sheikh Abdullah Fahim dilahirkan pada tahun 1870 di Makkah, Arab Saudi di satu tempat yang tidak jauh dari Masjidil Haram yang bernama Syuib Ali. Namun ada pihak yang mengatakan ulama terkenal ini dilahirkan di Kampung Kubur Panjang, kira-kira 32 kilometer dari Alor Setar, Kedah.
Sheikh Abdullah Fahim adalah anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapanya Sheikh Ibrahim bin Haji Tahir dan bermastautin di Makkah dan menjadi guru agama di Masjidil Haram dalam bidang pengajian al-Quran. Semasa hayatnya, Sheikh Ibrahim Tahir juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengelola Masjidil Haram selama 7 tahun. Kedua beranak ini dikenali oleh masyarakat Makkah sebagai keturunan Jawa dan Petani.
Sheikh Abdullah Fahim pernah menuntut dengan 45 orang guru agama yang terkenal dan mendapat kelulusan dalam lebih 15 bidang ilmu Islam. Kemahiran utama datuk kepada perdana Menteri Malaysia kelima ini adalah dalam bidang ilmu Falak dan Kesusateraan Arab. Sewaktu berada di Makkah, beliau mengambil kesempatan memepelajari ilmu politik Islam.
Semasa tinggal di Makkah, Abdullah Fahim mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Habsah Haji Abdullah. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Ghazali dan Ahmad Badawi. Ghazali dan ibunya, Wan Habsah meninggal dunia di Makkah.
Dalam bidang agama, Abdullah Fahim mengajar ilmu usuluddin, falak, tafsir Al-Quran dan Hadis di Masjidil Haram. Pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk yang berasal dari Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Jawa, Pattani, Filipina, India dan China. Disebabkan kemasyhurannya, apabila pulang Tanah Melayu pada tahun 1921, Abdullah Fahim sering di undang memberi ceramah atau pendapat pada seminar dan forum mengenai Islam. Ketinggian ilmu yang beliau miliki turut diakui oleh ulama terkenal Indonesia, Profesor Dr. Hamka.
Prof Dr. Hamka, Ulama terkenal Indonesia |
Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu pada tahun 1921, Abdullah Fahim tinggal di Kampung Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah dan menjadi guru di Maahad Mahmud yang ketika itu menggunakan sistem pendidikan secara pondok. Pada peringkat awal kepulangan beliau ke tanah air, beliau terpaksa menggilap semula kemahirannya berbahasa Melayu kerana sudah sekian lama tidak mengamalkan bahasa itu.
Selepas menetap di Kedah selama beberapa tahun pada tahun 1925, beliau berpindah ke Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang. Semasa mula-mula tinggal di Kepala Batas beliau mengajar agama di anjung rumahnya dan di Masjid Kepala Batas. Apabila jumlah muridnya semakin bertambah, ulama yang merupakan Mufti pertama Pulau Pinang ini mengasaskan penubuhan Madrasah Daeratul Maarif Al-Wataniah di Kepala Batas yang tenaga pengajarnya termasuklah anak beliau sendiri, Ahmad Badawi.
Masjid Badawi, Kepala Batas |
Pendek kata, sepanjang hayatnya, Sheikh Abdullah Fahim telah menggunakan segala ilmu yang dikurniakan Allah kepadanya untuk memberi manfaat kepada umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Jariah yang beliau curahkan itu mengalir hingga ke hari ini apabila ramai muridnya menjadi guru agama, mufti, qadi dan sebagainya yang mencurahkan khidmat bakti demi kesejahteraan masyarakat di dunia dan akhirat.
Sifat Peribadi Abdullah Fahim
Dalam kehidupan hariannya, Sheikh Abdullah Fahim adalah seorang yang mudah bergaul dan amat disayangi oleh penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pernah dikatakan bahawa pekedai-pekedai di sekitar Pulau Pinang biasanya amat bertuah sekiranya Sheikh Abdullah Fahim masuk ke kedai mereka tetapi akan merasa bimbang sekiranya barang di kedai mereka itu dikatakannya mahal, maka alamatnya jualan pekedai itu pada hari itu akan merosot. Begitu pula sebaliknya pekedai selalu berharap Sheikh Abdullah Fahim akan masuk ke kedai mereka kerana kehadirannya menjadi petanda bahawa jualan mereka pada hari itu akan laris.
Itulah antara keistimewaan yang dimiliki oleh Sheikh Abdullah Fahim yang merupakan seorang wali yang amat dihormati oleh penduduk Pulau Pinang terutamanya Seberang Prai dan Kepala Batas.
Sumbangan Abdullah Fahim Yang Berharga (Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara)
Nama Sheikh Abdullah Fahim juga berkait rapat dengan kemerdekaan Tanah Melayu kerana beliaulah tokoh yang diberi kepercayaan untuk memilih tarikh yang dirasakan serasi untuk dikemukakan kepada pihak Inggeris.
Dipendekkan cerita (rujuk sejarah kemerdekaan Negara), atas nasihat Abdullah Fahim dan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman, akhirnya seperti yang terakam dalam sejarah tanah air, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1997. Tarikh keramat ini sebenarnya bukan dipilih dengan sesuka hati oleh Abdullah Fahim tetapi melalui ilmu firasat yang beliau miliki. Tarikh inilah yang kini dirayakan setiap tahun oleh seluruh rakyat Malaysia yang menghargai erti kemerdekaan.
Hiasan Semata-mata |
Mungkin juga tidak ramai yang mengetahui bahawa pada pertemuan membincangkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu itu, Abdullah Fahim memberitahu Tunku selepas 5 tahun Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan, negara ini akan bertukar namanya. Ramalan yang dibuat berdasarkan ilmu firasat yang beliau miliki itu ternyata benar apabila dengan kehendak Allah jua, Tanah Melayu bertukar namanya kepada Malaysia 5 tahun selepas kemerdekaannya.
Walaupun ramai yang kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh Sheikh Abdullah Fahim tetapi bagi beliau dan ahli keluarganya, semua itu pemberian Allah kepada sesiapa jua yang dikehendakiNya.
Tibanya Ajal Beliau
Akhirnya sampailah sudah kesudahan riwayat hidup seorang ulama dan tokoh kemerdekaan yang terkenal dan tiada tandingannya. Sheikh Abdullah Fahim menghembuskan nafas terakhir pada 28 April 1961 pada pukul 8 pagi di rumahnya di Kepala Batas. Ketika itu, usia beliau sudah 92 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang.
Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) |
Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas rohnya. Amin.
Ditaip semula dan di ubahsuai daripada Kitab Lembaran Hidup Ulama' - Warisan Ilmuwan Islam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan