Sabtu, 3 September 2011

Siri Perubatan Islam: Siapa Al-Rihil Ahmar?

Sejarah Al-Rihil Ahmar:

  Telah diberitakan bahawa Nabi Sulaiman a.s. pada suatu hari sedang duduk di atas takhta kerajaannya dihadapan manusia, jin-jin dan binatang-binatang. Baginda sedang membicarakan dan menghukumkan antara mereka itu. Lalu datanglah padanya perasaan 'ujub (besar diri) dan ia pun berkata dalam hatinya. "Adakah sesuatu makhluk yang Allah Taala telah jadikan yang tidak ditundukkan oleh-Nya kepadaku?"

Tiba-tiba seketika itu juga datanglah suatu makhluk (yang berupa manusia) besar panjang badannya lagi hebat dan dahsyat rupanya dengan keluar api yang bernyala-nyala darinya. Maka terkejutlah Nabi Sulaiman melihat akan dia serta menggeletar.

Kemudian baginda pun bertanya: "Hai engkau yang besar bangsa api, siapakah engkau dan siapa nama engkau dan apakah sebab engkau datang ke mari?"

Jawabnya: "Aku bernama Al-Rihil Ahmar iaitu suatu penyakit yang amat besar antara penyakit-penyakit. Allah mendatangkan kesakitan kepada anak cucu Adam dan Hawa. Aku boleh melalui di dalam tubuh manusia sebagaimana darah boleh melalui di dalamnya hingga aku boleh meresap ke sendi-sendi dan urat-uratnya. Apabila Allah Taala berkehendak memberi azab kepada sesiapa antara makhluk, Dia pun memberi kuasa kepada aku masuk kepadanya. Jika aku masuk ke dalam otaknya maka hilanglah akalnya dan jika aku masuk menerusi hidungnya nescaya aku zahirlah berupa penyakit bengkak-bengkak dan sembab-sembab dan seterusnya hingga aku binasakan segala anggota-anggotanya.

Manakala Nabi Sulaiman mendengar akan perkataan makhluk itu maka baginda pun menitahkan mereka yang di sekelilingnya supaya membunuh dan membakar makhluk tersebut.

Al-Rihil Ahmar itu pun berkata "Tiada kuasa sekali-kali jua pun boleh membuat demikian kerana Allah s.w.t. telah menjadikan aku dan melanjutkan umurku."

Kemudian ia pun ghaib daripada majlis Nabi Sulaiman a.s. itu.

Yg dikatakan Al-Rihil Ahmar itu, adalah dimaksudkan sebagai angin ahmar (angin merah) atau lebih dikenali sebagai 'strok' pada istilah kita ini.
 Klik sini untuk mendengar kuliah mengenai Rihul Ahmar
Allahua'lam.

Ditaip semula dan diubah suai daripada Kitab JIN, Hakikat & Pengubatan karangan Ustaz Ismail Kamus

Catatan: Sila rujuk buku-buku perubatan Islam untuk mendapatkan maklumat mengenai cara-cara menangkis dan merawat pesakit Rihul Ahmar.
 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan