Ahad, 16 Oktober 2011

DOA : PENGHUBUNG ILAHI



Berdoa merupakan amalan penting yang dapat menghubungkan insan dengan Allah SWT sebagai penyelesaian segala masalah rohani dan jasmani, pelerai kesulitan dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman:
Maksudnya: "Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku, sesungguhnya Aku terlalu hampir. Aku perkenankan doa orang yang meminta apabila ia berdoa kepada-Ku."

Adab Dan Sifat Berdoa

Berdoa ialah suatu ibadah yang mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi supaya dimakbulkan Allah. Antaranya ialah:
  1. Keadaaan bersih diri sebaik-baiknya berwudhuk, bersih pakaian dan tempat serta menutup aurat.
  2. Dalam keadaan khusyuk dan merendahkan diri kepada Allah dan menghadap ke arah kiblat.
  3. Merendahkan suara dan tidak mengganggu orang lain.
  4. Jangan menggunakan lafaz doa yang bersajak.
  5. Yakinkan bahawa doa yang dipohon itu diperkenankan oleh Allah SWT.
  6. Mengulang-ulangkan ungkapan doa yang penting di tempat-tempat tertentu.
  7. Memulakannya dengan memuji Allah dan selawat (ke atas Nabi SAW) dan juga mengakhirinya dengan pujian terhadap Allah dan berselawat.
  8. Beristighfar (bertaubat) sebelum berdoa.
  9. Hendaklah memahami isi dan maksud doa yang dilafazkan.
  10. Doa itu bukan bertujuan untuk melakukan dosa, atau memutuskan hubungan silaturrahim dan jangan memohon segera dimakbulkan doa tersebut.
  11. Memulai doa dengan memohon keampunan untuk dosa diri sendiri yang dilakukan, kemudian untuk saudara-mara yang beriman.
  12. Hendaklah dengan penuh perasaan pengharapan dan jangan cuba mengatakan, "Ya Allah, ampunkanlah daku sekiranya Engkau mahu, ramatilah sekiranya Engkau inginkan."
  13. Mengangkat kedua-dua belah tangan sehingga ke paras bahu seperti yang dibuat oleh Nabi SAW.
  14. Menadah tapak tangan mengarah ke langit dan sekiranya meminta perlindungan, tapak tangan mengarah ke bawah.
  15. Berdoa dengan suara yang perlahan.
Waktu-Waktu Mustajab Berdoa
Berdoa boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Walaubagaimanapun, terdapat waktu-waktu tertentu yang lebih mustajab sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW sendiri.
  1. Waktu pagi sebelum terbit matahari dan setelah selesai menunaikan solat Subuh.
  2. Tiap-tiap selepas solat fardhu lima waktu.
  3. Antara solat Zuhur, Asar dan Maghrib.
  4. Antara Azan dan Iqamah atau selepasnya.
  5. Ketika bangun tidur.
  6. Selepas membaca tasyahud akhir sebelum salam.
  7. Ketika hendak masuk dan keluar masjid.
  8. Antara takbir solat hari raya.
  9. Dalam khutbah Jumaat, khutbah hari raya dan khutbah nikah.
  10. Ketika menziarahi makan Rasulullah SAW di Masjid Nabawi.
  11. Ketika melakukan sesuatu pekerjaan dan urusan penting.
  12. Ketika membaca Qunut bagi solat Subuh dan lain-lain.
  13. Tiap-tiap kali mengadakan majlis dan upacara yang tidak berbentuk kemaksiatan dan kemungkaran.
  14. Ketika ditimpa kesulitan, gundah gulana dan resah gelisah.
  15. Ketika berjumpa dengan sanak saudara dan sahabat handai yang lama berpisah.
  16. Ketika hujan turun.
  17. Ketika hendak memulakan solat dan sesudah mengerjakannya.
  18. Sepanjang malam, terutama sepertiga yang akhir dan waktu malam sahur.
  19. Ketika khatam Al-Quran 30 juzuk.
  20. Ketika sujud dalam solat khususnya pada sujud terakhir. 
Tempat Mustajab Untuk Berdoa

Berdoa boleh dilakukan di mana-mana sahaja, asalkan tempat di tempat yang bersih dan sesuai, tetapi afdhalnya adalah di tempat-tempat yang berikut:
  1. Apabila melihat Baitullah (Kaabah) di Makkah
  2. Ketika melakukan tawaf mengelilingi Kaabah
  3. Di dalam Kaabah
  4. Di sisi Multazam dan Hijr Ismail
  5. Ketika melihat masjid Rasulullah SAW di Madinah.
  6. Di sisi telaga zamzam
  7. Di atas Bukit Safa dan Marwah
  8. Di belakang Makam Nabi Ibrahim a.s.
  9. Di Muzdalifah pada malam 10 Zulhijjah
  10. Di Padang Arafah pada 9 Zulhijjah
  11. Di Mina pada Hari Tasyriq
  12. Di dalam masjid
  13. Di sisi Jamratul Aqabah pada 11,12,13 Zulhijjah.
Tanda-Tanda Doa Di Makbulkan
  • Terasa sesuatu yang menakutkan
  • Menangis tatkala berdoa (bukan dibuat-buat)
  • Terasa menggeletar beberapa ketika semasa berdoa
Disamping itu, doa-doa yang selalunya dimakbulkan oleh Allah ialah doa orang yang dalam keadaan berikut:
  • Orang yang terdesak
  • Orang yang dizalimi
  • Anak yang berbuat baik terhadap kedua-dua ibu bapanya
  • Doa seorang Muslim yang tidak berbuat zalim dan tidak memutuskan hubungan silaturrahim
Sebab-Sebab Doa tidak Di Makbulkan Allah
  • Ditangguh pada suatu ketika yang munasabah
  • Kerana Allah mengetahui seandainya permohonan ini dimakbulkan, boleh menyebabkan sesuatu yang akan menyusahkan diri pemohon.
  • Berkemungkinan syarat-syarat doa tidak lengkap seperti: Tidak ikhlas, tergesa-gesa, tidak memohon kebaikan, hati yang tidak hadir, makanan dan pakaian daripada sumber-sumber yang haram atau syubhah.
Antara doa yang dimakbulkan Allah ialah doa anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya:




Ya Allah
Rendahkanlah suaraku bagi mereka
Perindahlah ucapanku di depan mereka
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka

Ya Allah,
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya, atas
didikan mereka padaku dan Pahala yang besar atas
kesayangan yang mereka limpahkan padaku,peliharalah
mereka sebagaimana mereka memeliharaku.

Ya Allah,
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku
jadikanlah itu semua penyebab susutnya
dosa-dosa mereka dan bertambahnya pahala kebaikan
mereka dengan perkenan-Mu ya Allah
hanya Engkaulah yang berhak membalas kejahatan dengan
kebaikan berlipat ganda.

Ya Allah,
Bila magfirah-Mu telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka memberi syafa'at untukku.
Tetapi jika sebaliknya, maka izinkanlah aku memberi
syafa'at untuk mereka,sehingga kami semua berkumpul
bersama dengan santunan-Mu di tempat kediaman
yang dinaungi kemulian-Mu, ampunan-Mu serta rahmat-Mu... .

Sesungguhnya Engkaulah yang memiliki Kurnia Maha
Agung, serta anugerah yang tak berakhir dan Engkaulah
yang Maha Pengasih diantara semua pengasih.

Amin Ya Rabbul Alamin..







Tiada ulasan:

Catat Ulasan