JIKA bandar raya lain berbangga dengan pembinaan menara pencakar langit, di tengah Mexico City, arkitek kini sibuk merealisasikan pembikinan bangunan lebih luar biasa - pencakar bumi.
Mengikut rancangan, mereka mahu membina bangunan 65 tingkat sehingga 300 meter ke dalam tanah.
Berbentuk seperti piramid terbalik, bangunan itu bakal dibina di ibu negara Mexico dan sepatutnya memiliki ketinggian kira-kira sama dengan bangunan lain di situ.
Daripada 65 tingkat itu, setiap 10 daripadanya dikhaskan untuk kediaman dan kedai, selain sebuah muzium serta 35 tingkat lagi untuk dijadikan pejabat.
Di bahagian paling atas bangunan ini dipasang lapisan kaca untuk menutup lubang empat segi sama seluas 240 meter x 240 meter.
Selain bertindak sebagai bumbung, ia juga membolehkan cahaya matahari digunakan bagi menerangi bahagian lebih rendah di dalam tanah.
Pegawai firma arkitek BNKR Arquitectura, Esteban Suarez, berkata bangunan itu turut menempatkan sebuah pusat kebudayaan baru untuk Mexico.
“Undang-undang Pusat dan kerajaan tempatan pula melarang sebarang bangunan bersejarah dimusnahkan.
“Jika ia dibenarkan pun, peraturan semasa mengehadkan pembinaan bangunan hanya setinggi lapan tingkat,” katanya.
Di sebalik kekangan itu, katanya, pusat bandar raya Mexico City yang bersejarah itu perlukan perubahan.
Justeru, kata Suarez, mereka tidak ada pilihan kecuali satu - membina bangunan jauh ke dalam tanah.
“Pencakar bumi ini mengekalkan kewujudan bangunan yang menjadi mercu tanda Mexico City dan bangunan bersejarah lain di sekitarnya,” katanya.
Melalui lubang yang ada di tengah-tengah piramid terbalik itu, kata Suarez, semua penghuni bangunan berkenaan dapat menikmati cahaya semula jadi dari matahari.
Aspek pengudaraan juga diberi perhatian dengan mengekalkan sistem sedia ada, membolehkan penghuni menggunakan sumber semula jadi.
“Apabila bangunan ini siap nanti, pelbagai aktiviti masih boleh terus dilangsungkan di tengah bandar raya, seperti konsert, pameran terbuka dan perarakan tentera,” katanya.
Piramid memang memainkan peranan besar dalam sejarah seni bina Mexico.
Ribuan tahun lalu, pembangunan di negara itu banyak dipengaruhi struktur piramid.
Ketika kaum Aztec tiba di Lembah Mexico, mereka membina piramid di atas tasik yang mereka temui di situ.
Sejajar dengan perkembangan dan pengaruh empayar Aztec, mereka membina piramid baru dengan saiz lebih besar - bukan di kawasan baru, sebaliknya di sekitar piramid asal.
Piramid tradisional merangkumi pelbagai lapisan sejarah, sesuai dengan era tertentu.
Apabila penjajah Sepanyol tiba di Amerika dan akhirnya menguasai Aztec, mereka membangunkan gereja Kristian di atas piramid berkenaan.
Akhirnya, seluruh bandar raya kolonial itu dibina di atas tapak tamadun Aztec.
Pada abad ke-20, banyak bangunan kolonial diruntuhkan untuk memberi ruang kepada pembinaan bangunan moden di atas tapak bersejarah.
Justeru, Suarez berkata, pihaknya mahu mengelak kesilapan itu berulang.
“Bangunan pencakar bumi ini dibina jauh ke dalam tanah untuk membolehkan kami menemui asal usul tamadun Mexico,” katanya.
Pemandangan Atas |
Pelan Asal Projek Mega ini |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan