Selasa, 27 Mac 2012

Bila Si Kecil Jatuh Cinta


Baru-baru ini, saya telah terlihat sebuah iklan di Facebook, tentang Kempen 1 Hari 1 Cerita tentang Rasulullah kepada Anak anjuran Wanita Ikatan Muslimin Malaysia yang bermula dari 2 hingga 8 Februari 2012 sempena sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Saya amat tertarik dengan iklan tersebut lantas timbul kesedaran di hati saya untuk memperkenalkan Rasulullah kepada anak saya, Khaulah yang berusia 4 tahun. Sebelum ini saya hanya memperkenalkan Allah kepadanya bagi mengajarkan ibadah, adab dan akhlak dalam dirinya.
Saya mulakan dengan membuka kartun “Muhammad Utusan Terakhir” di Youtube. Namun Khaulah agak hilang minat dan asyik bertanya, “Which one is Rasulullah?”. Saya buntu kerana memang benar di dalam kartun tersebut tidak dilukis tubuh badan Rasulullah.
Saya mencuba lagi, dan kali ini saya menyanyikan kepadanya sebuah lagu nasyid kanak-kanak yang sering saya nyanyikan kepadanya sejak dia masih bayi lagi. Lirik lagunya berbunyi:
“Satu, satu, saya sayang Allah.
Dua, dua, sayang Rasulullah.
Tiga, tiga, sayang Umi Abi.
Satu, dua, tiga sayang semuanya.”
Dari lirik lagu tersebut, saya bertanya kepada Khaulah, “do you know who is Allah?” Sambil tersenyum Khaulah menjawab, “Yes”. Kemudian saya bertanya lagi, “do you know who is Rasulullah?” Berkerut dahi Khaulah memikirkan jawapan, “emm.. No,” katanya. Dari situ saya mula memperkenalkan Rasulullah kepadanya.
Saya mengatakan Rasulullah tinggal di Makkah dan Madinah. Kebetulan saya memang selalu memasang cd panduan haji dan umrah di televisyen, jadi Khaulah yang menontonnya bersama saya sudah mengenali keadaan di Makkah. Saya juga pernah menunjukkan lokasi Makkah dalam peta dunia yang tertampal di dinding rumah, jadi dia mengerti betapa jauhnya Makkah dari Vietnam lokasi tempat tinggal kami sekarang.
Kemudian saya juga memberitahu Khaulah bahawa Rasulullah telah meninggal dunia. Terkejut sungguh reaksi pada wajah Khaulah, dan bertanya berkali-kali dalam kedua-dua bahasa Melayu dan Inggeris untuk kepastian, “Rasulullah already die? Die? Mati??” Saya mengangguk dan menunjukkan di peta bahawa Rasulullah wafat di Madinah. Saya menyambung cerita bahawa Rasulullah boleh masuk syurga kerana Rasulullah sangat baik, selalu solat, selalu puasa, selalu senyum, tak marah orang, cakap baik-baik, makan makanan halal. Dan Khaulah menyambung, “ooo, Rasulullah Islam? Pakai tudung?”. Persoalan yang bagus menunjukkan Khaulah sedang bekerja keras menggunakan imaginasinya untuk membayangkan diri Rasulullah. Saya membetulkan, “Yes Rasulullah is a muslim, but he didn’t wear tudung because he is a boy. Boys don’t wear tudung”. “Ooo..” Khaulah mengangguk tanda faham.
Kemudian saya bertanya kepada Khaulah, “do you want to see Rasulullah?” Khaulah mengangguk. Saya sambung, “Then we have to go to syurga. Rasulullah not die anymore in Syurga. Allah take care of Rasulullah, give him drinks and milk from the River in syurga, let Rasulullah eat fruits from the trees, and give nice dress to Rasulullah” Mula lah Khaulah ‘excited‘ dan menyatakan impiannya untuk ke syurga “Khaulah also wants to go to syurga! I want to take fruit like rambutan at Atok’s house. I want to wear Cinderella’s shirt. Can Allah give me Cinderella’s shirt?” Saya hanya senyum dan mengangguk.
Syukur. Anak saya kini telah mengenali Rasulullah. Sekurang-kurangnya dia kini mengerti maksud lafaz syahadah yang disebutkan dalam kehidupannya seharian. Syukur juga Allah telah memudahkan urusan saya untuk memperkenalkan RasulNya kepada anak saya dan menerangkan hati anak saya untuk menerimanya.
Hasil Nukilan:
Nor Hasni Hayati Hanapi,
Aktivis ISMA


Dipetik dari: