Mutiara Hikmah Ibrahim bin Adham
Seorang lelaki datang menemui Ibrahim bin Adham seraya berkata: "Wahai Abu Ishaq, sesungguhnya aku adalah seorang lelaki yang banyak melakukan kezaliman terhadap diriku sendiri. Nasihatilah aku sehingga aku mendapat keselamatan."
Ibrahim bin Adham menjawab: "Apabila kamu menerima lima perkara ini dan kamu sanggup melakukannya, maka perbuatan maksiat tidak akan kamu lakukan dan kelazatan dunia tidak akan menghancurkanmu."
Lelaki: Berikanlah nasihat itu kepadaku, Abu Ishaq.
Ibrahim: Pertama, jika kamu ingin berbuat maksiat kepada Allah, janganlah kamu makan dari rezekiNya.
Lelaki: Bagaimana mungkin aku dapat makan dari yang lain sedangkan semua yang ada di bumi ini adalah
rezekiNya?
Ibrahim: Wahai saudara! Apakah layak bagimu makan dari rezeki-Nya sedangkan engkau tetap derhaka
kepadaNya?
Lelaki: Berikan kepadaku nasihat yang kedua.
Ibrahim: Apabila engkau berbuat derhaka kepada-Nya, janganlah engkau menempati sedikitpun dari
negeriNya.
Lelaki: Wahai Ibrahim! ini lebih berat dari yang pertama, sedangkan bumi ini mulai timur sampai ke barat
adalah milik-Nya, maka di manakah lagi aku akan berpijak?
Ibrahim: Wahai saudara, apakah patut bagimu makan dari rezeki-Nya dan tinggal di atas bumi-Nya kemudian
kamu derhaka kepada-Nya?
Lelaki: Kemudian berikan kepadaku nasihat yang ketiga.
Ibrahim: Apabila engkau berbuat maksiat kepada-Nya sedangkan engkau tetap makan dari rezeki-Nya dan
tinggal di negeri-Nya, carilah suatu tempat yang Dia tidak dapat melihatmu, kemudian berbuat
maksiatlah di tempat itu.
Lelaki: Wahai Ibrahim, hal ini tidak mungkin dapat aku lakukan, kerana Dia dapat mengetahui segala rahsia,
sehingga yang terniat di hati pun Dia mengetahuinya.
Ibrahim: Wahai saudara, apakah patut bagimu memakan rezeki-Nya dan tinggal di negeri-Nya kemudian
kamu berbuat derhaka kepada-Nya sedangkan Dia melihatmu dan mengetahui apa-apa yang kamu
lakukan?
Lelaki: Berilkanlah kepadaku nasihat yang ke-empat.
Ibrahim: Apabila telah datang kepadamu Malaikat Maut untuk mencabut nyawamu, katakanlah kepadanya:
"Tangguhkanlah umurmu sehingga aku taubat nasuha dan melakukan amal soleh."
Lelaki: Sudah jelas dia tidak mahu menerima permintaanku itu.
Ibrahim: Wahai saudara, apabila engkau tidak mampu menangguhkan maut untuk bertaubat sedangkan
engkau tahu bahawa apabila maut telah datang kepadamu, maka tidak akan dapat diundur, lalu
bagaimana mengharapkan keselamatan?
Lelaki: Berikanlah kepadaku nasihat yang kelima.
Ibrahim: Apabila Malaikat Zabaniyyah pada hari kiamat datang untuk membawamu ke neraka, maka
janganlah kamu mahu mengikuti mereka.
Lelaki: Mereka tidak akan membiarkan aku dan tidak akan menerima permintaanku.
Ibrahim: Maka bagaimana mungkin kamu dapat selamat dengan melakukan maksiat itu?
Lelaki: Wahai Ibrahim, aku sudah puas, aku sudah puas dengan nasihatmu. Aku meminta keampunan
daripada Allah Taala dan bertaubat kepadaNya.
Kemudian orang tersebut sangat taat beribadah sehingga dia menghembuskan nafas yang terakhir.
Ditaip semula dan diubah suai daripada Kitab Keinsafan Di Penghujung Usia karangan Kasturi Selamat Ma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan