Sabtu, 26 November 2011

Ulama' Tercinta - Ustaz Fadzil Mohd Noor

Di Hormati Kawan, Di Segani Lawan


LATAR BELAKANG

Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah.

Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.


Moyangnya Tuan Guru Hj Idris
yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang ulama’ terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.
Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga (1946-1949).

Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar (1949-1958) dan peringkat tinggi (1958-1962).
Setelah tamat pengajiannya di Maktab Mahmud, Ustaz Fadzil Noor menjadi guru di Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah. Kemudian beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.
Pada tahun 1962, Ustaz Fadzil Noor melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah.
Sekembalinya dari Mesir, Ustaz Fadzil Noor menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud (1967-1973) dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.


Penglibatan Awal

Bakat kepimpinan Ustaz Fadzil Noor terserlah bila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud.
Ketika di Mesir Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha dan akhirnya sebagai timbalan presiden.


Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah.

Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974.
Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Penglibatan dalam PAS


Ustaz Fadzil Noor mula terlibat dengan PAS pada tahun 1959 ketika masih menuntut di Maktab Mahmud. Beliau membantu calon-calon PAS dalam pilihanraya tahun tersebut.

Ustaz Fadzil Noor juga dalam kempen tersebut sering mengikuti ceramah-ceramah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.

Ustaz Fadzil Noor seterusnya dilantik menjadi YDP PAS Kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan Negeri PAS Kedah.

Jawatan tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor adalah:
· Naib Yang Dipertua (1979-1983)
· Timbalan Yang Dipertua (1983-1989)
· Presiden PAS (1989-2002)
Ustaz Fadzil Noor mula menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989. Nama jawatan Yang Dipertua PAS ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.


Ditahan Polis

Dalam perjuangan menegakkan kebenaran, Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis.

Pada penghujung tahun 1970an, ketika sedang berucap dalam majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib.

Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya dengan memberi peringatan kepada pihak polis tentang sebuah hadith Nabi s.a.w.
Sepasukan polis terus menyerbu dan menahan Ustaz Fadzil Noor beserta para penceramah lain.

Mereka terus dibawa ke balai di bandar Kuala Terengganu malam itu juga. Bermalamlah Ustaz Fadzil Noor di lokap pada malam itu.
Lewat malam itu juga Pemuda PAS memobilisasi sokongan dan menjelang subuh kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu.
Mereka mendesak pemimpin-pemimpin mereka dibebaskan segera.
Perundingan antara beberapa orang wakil PAS dengan pihak polis diadakan. Hasilnya, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin-pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.
Sekali lagi Ustaz Fadzil Noor ditahan oleh pihak polis adalah dalam ceramah di Jerlun, Kedah. Peristiwa ini berlaku ketika kes Muassasah Darul Ulum menjadi isu panas di antara PAS dengan UMNO di Kedah.



Ustaz Fadzil Noor ditahan semasa berceramah. Beliau ditahan bersama Hj. Shaari, YDP PAS Kawasan Jerlun dan dikenakan ikat jamin. Kesnya terus dibawa ke mahkamah.



Walau bagaimanapun kes ini digugurkan berikutan kematian Hj. Shaari
Dalam perjuangan bersama-sama PAS, terutamanya sejak era peralihan kepimpinan, Ustaz Fadzil Noor sentiasa berseiringan jalan dengan Tuan Guru Yusof Rawa.

Selepas pilihanraya tahun 1978 lagi, ketika Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama, Ustaz Fadzil Noor menjadi Naib Yang Dipertua kedua.

Semasa Tuan Guru Yusof Rawa berjaya memenangi jawatan Timbalan yang Dipertua parti dalam tahun 1981, Ustaz Fadzil Noor pula menduduki jawatan Naib Yang Dipertua pertama.

Apabila Majlis Syura Ulama’ diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Ustaz Fadzil Noor bersama-sama Tuan Guru Yusof Rawa mewakili Jawatankuasa PAS Pusat untuk duduk dalam Majlis Syura Ulama’.


Ketika Tuan Guru Yusof Rawa dipilih menjadi Mursyidul Am yang pertama, bebanan tugas Yang Dipertua telah dilaksanakan sebahagiannya oleh Ustaz Fadzil Noor.


Demikian juga semasa Tuan Guru Yusof Rawa uzur menjelang saat-saat akhir beliau memegang jawatan Yang Dipertua, maka Ustaz Fadzil Noor merupakan orang yang menjalankan tugas-tugas teraju utama parti.

Ustaz Fadzil Noor merupakan orang yang paling kehadapan membantu Tuan Guru Yusof Rawa semasa PAS berhadapan dengan krisis peralihan kepimpinan dan tragedi Memali.
Ustaz Fadzil Noor juga menjadi pembantu utama semasa Tuan Guru Yusof Rawa merintas konsep kepimpinan ulama’ dan mengukuhkan asas-asas harakah Islamiyyah dalam PAS.

Ustaz Fadzil Noor adalah orang kanan Tuan Guru Yusof Rawa sepanjang perjuangan mereka bersama-sama dalam PAS.
Menangani Fatwa Syuhada’ Memali 
Semasa tercetusnya tragedi Memali, tugas menangani kes tersebut telah diserahkan oleh Tuan Guru Yusof Rawa kepada Ustaz Fadzil Noor. Beliau pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Persoalan paling utama kepada Ustaz Fadzil Noor pada masa itu adalah bagaimana jenazah hendak diurus? Adakah mereka syuhada’?. Sekiranya mereka mati syahid, jenazah mereka tidak perlu dimandi, dikapan dan disolat-jenazahkan.

Ustaz Fadzil Noor terus menemui Tuan Guru Haji Omar, seorang alim yang sangat disegani di Baling. Menurut Tuan Guru Haji Omar, Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sah mati syahid.Ustaz Fadzil Noor merujuk lagi kepada Tuan Guru Haji Yahya Joned, ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah dan menantunya Ustaz Azahari Abdul Razak, ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah. Kedua mereka adalah pimpinan ulama’ PAS Kedah.

Mereka berdua menyokong pendapat Tuan Guru Haji Omar.
Ustaz Fadzil Noor seterusnya cuba mendapatkan pengesahan daripada Majlis Fatwa Negeri Kedah tetapi dalam waktu yang suntuk Majlis Fatwa tidak dapat mengadakan mesyuarat.

Dengan itu jenazah Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang rakan-rakannya dikebumikan sebagai para syuhada’.

Dua minggu kemudian Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah.
Seterusnya Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka.

Ustaz Fadzil Noor mengatakan jika pihak kerajaan menganggap mereka tidak syahid, kerajaan mesti bertindak menggali kubur, memandi, mengkafan dan menyembahyang-jenazahkan mereka!

Untuk meredakan keadaan, Sultan Kedah telah perkenan menziarahi pusara Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya.

Berikutan itu Ustaz Fadzil Noor mengulas:

”Mana ada raja perkenan menziarah kubur orang derhaka? Macam Hang Jebat yang dianggap derhaka kepada Raja Melaka, tidak pernah ada raja-raja dari dulu hingga sekarang ziarah kubur Hang Jebat”

Tindakan terhadap Ibrahim Libya adalah untuk mengelakkan pengaruhnya dan pengaruh PAS berkembang agar UMNO tidak tergugat di Baling.

Tetapi tanpa Ibrahim Libya pun, akhirnya Baling jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya 1999.

Dalam debat Parlimen, isu Memali dibangkitkan oleh UMNO. Pihak yang mengatakan Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya tidak syahid mencabar supaya Ustaz Fadzil Noor menggali pusara syuhada itu, sama ada hancur atau tidak jenazah mereka.
Ustaz Fadzil Noor lantas menjawab:

”Kami percaya mereka syahid, kami tidak perlu menggali kuburnya. Yang Berhormat yang tidak percayalah yang patut menggalinya untuk melihat badan mereka hancur atau masih segar”

Memantapkan Konsep Kepimpinan Ulama’





Kepimpinan Ulama’ diasaskan semasa kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai Yang Dipertua dengan Ustaz Fadzil Noor sebagai timbalannya.
Di bawah kepimpinannya, Ustaz Fadzil Noor menekankan agar golongan ulama’ hendaklah sentiasa berusaha untuk melayakkan diri menjadi pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya institusi ulama’ mesti disokong dan didaulatkan.
Ustaz Fadzil Noor berpandangan bahawa kepimpinan PAS akan lebih terbuka dan lebih banyak dipikul oleh golongan intelektual masa depan, namun konsep kepimpinan ulama’ akan terus menjadi teras.
Dengan itu Ustaz Fadzil Noor tetap menekankan perihal pentingnya penghayatan kepimpinan ulama’.

Sejak kepimpinan ulama’ diketengahkan, PAS berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Kedua-dua negeri ini telah memberikan penghormatan kepada ulama’ untuk menjadi Menteri Besar.

Kehadiran Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang ke Parlimen juga merupakan satu penampilan tokoh ulama’ yang berwibawa dan amat dikagumi.

Kempen Menambah 500,000 Ahli

Setelah menjadi Presiden, Ustaz Fadzil Noor menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.

Pada tahun 1990, beliau melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada 500,000 orang dalam tempoh lima tahun.

Sasaran ini adalah sebelum pilihanraya tahun 1995.
Dalam satu Ucapan Dasarnya, Ustaz Fadzil Noor menyarankan supaya pemimpin-pemimpin di semua peringkat hendaklah memastikan agar ada cawangan PAS di setiap kampung, di setiap taman perumahan dan di setiap lorong.
Ustaz Fadzil Noor menegaskan hendaklah ada sekurang-kurangnya seorang ahli PAS dalam setiap rumah.
Ustaz Fadzil Noor membuktikan arahannya itu dilaksanakan di kawasannya sendiri di DUN Bukit Raya. Di Bukit Raya, cawangan-cawangan PAS jauh melebihi cawangan-cawangan UMNO.

Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah mencecah 400,000.

Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya, namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.

Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim.
Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.


Pelaksanaan Hudud

Enakmen Syariah II Kelantan yang termasuk di dalamnya hukum hudud telah dikemukakan oleh Kerajaan PAS Kelantan semasa kepimpinan Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil Noor menjelaskan bahawa PAS telah mengumumkan hasratnya untuk melaksanakan syariat Islam termasuk hudud sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951.

Para pemimpin PAS sejak itu tidak pernah berselindung mengenai cita-cita tersebut.
Hasrat ini telah disebut dalam ceramah dan manifesto-manifesto pilihanraya PAS.


Ustaz Fadzil Noor menjelaskan bahawa PAS dalam melaksanakan syariat Islam tidak pernah bersikap terburu-buru.

Contohnya, kerajaan Kelantan telah mengambil kira pandangan awal Perdana Menteri yang pernah membuat kenyatan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud.
Kerajaan Kelantan juga mengambil kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri yang menyebut kononnya UMNO tidak menentang hudud.

Pandangan parti-parti bukan Melayu juga diberi perhatian.

Ketua Dewan Ulama’ sebagai sifatnya Menteri Besar Kelantan telah membuka pintu pejabatnya untuk berdialog dengan ketua-ketua agama dan politik serta pemimpin-pemimpin masyarakat.
Ustaz Fadzil Noor menegaskan bahawa kerajaan Kelantan telah mencatat sejarah apabila rang enakmen itu dibenarkan untuk dibahas dalam seminar terbuka oleh pelbagai pihak sebelum dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Tetapi malangnya UMNO tidak kelihatan.
Ustaz Fadzil Noor telah membidas perbuatan mereka dengan mengatakan bahawa Barisan Nasional yang mendakwa sebagai juara demokrasi sebenarnya belum berani untuk menghadapi rakyat seperti yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.



Ustaz Fadzil Noor turut menyelar tindakan UMNO menolak enakmen tersebut serta pakatan mereka untuk menggagalkan pelaksanaan syariat Islam di negeri Kelantan.

KEWAFATAN MUJAHID 

Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah pada pagi 23 Jun 2002 setelah dua minggu mengalami koma selepas pembedahan yang dijalaninya.


Dengan arahan kerajaan Pusat, jenazahnya diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia ke Kedah.
Jenazah dibawa ke Muassasah Darul Ulum, institusi ilmu yang diasas dan diperjuangkannya.
Pada hari beliau dikebumikan pada malam 23 Jun 2002, hampir setengah juta orang berkumpul di situ.
Dari Alor Setar hingga ke kawasan itu, hampir 30km orang ramai penuh sesak di sepanjang jalan menunggu jenazahnya lalu.
Malah pada ketika terakhir jenazah hendak dikebumikan, tiada lagi kenderaan dapat bergerak sepanjang hampir 10km menuju ke Muassasah Darul Ulum.

Tidak kurang 50,000 orang menunaikan solat jenazahnya yang diimamkan oleh Tuan Guru Dato’Nik Abdul Aziz pada malam itu. Ia dikira satu rekod terbesar dalam sejarah umat Islam




TANGISAN SEORANG SAHABAT


1. Sekali lagi bulan Jun menjadi bulan dukacita bagi rakyat khususnya penyokong dan pendokong gerakan Islam di Malaysia.
2. Pada 23 Jun, lapan tahun yang lalu, Presiden PAS Allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Nor menghembuskan nafasnya yang terakhir. Semalam, 15 Jun, mantan Timbalan Presiden PAS Allahyarham Ustaz Hassan Shukri pula yang pergi meninggalkan kita.
3. Tangisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pagi tadi merakamkan kenangan separuh abad berjuang bersama-sama sahabatnya itu. Sahabat yang bukan sembarangan pendokong. Dialah khutub khanah PAS, dialah perlembagaan bernyawa PAS, dialah pentadbir parti paling zuhud dan bijaksana, dialah ahli paling setia dan dialah penyumbang parti paling bersungguh.
4. Ustaz Hassan Shukri adalah pemimpin PAS yang berpeluang melalui zaman kepimpinan hampir kesemua Yang DiPertua/Presiden PAS. Beliau telah menjadi pemimpin kanan parti seawal zaman kepimpinan Ustaz Asri Muda, kemudian Ustaz Yusuf Abdullah Ar Rawa , Ustaz Fadzil Nor dan terakhir Ustaz Abdul Hadi Awang.
5. Melalui pelbagai zaman turun naik perjuangan, adakalanya PAS berdepan dengan pelbagai krisis dalam parti. Bergelut dengan ahli-ahli yang kemudiannya menjadi pisau dalam lipatan. Berhadapan dengan parti lawan yang mengamalkan prinsip Machiavellian, dan pelbagai lagi mehnah dalam perjuangan. Ia bukanlah semudah yang disangka.
6. Ada beberapa krisis dalaman parti yang telah menyebabkan beberapa kepimpinan utama meninggalkan parti kerana tidak puas hati.
7. Benar, ada seribu alasan untuk tidak berpuas hati. Tetapi, Ustaz Hassan Shukri memilih untuk mengutamakan parti. Beliau yakin bahawa inilah wadah yang bukan hanya mampu memimpin beliau di dunia malahan juga menunjukkan jalannya di akhirat.
8. Hari ini, semakin sukar untuk bertemu dengan ahli parti sebaik beliau.
9. Parti politik bukanlah tempat untuk kita berfikir siang dan malam bagaimana mahu naik dan diangkat tinggi. Bukan bagaimana mahu ditonjolkan dan dianggap wira dalam masyarakat. Bukan bagaimana mahu menjadi senang dan kaya dengan menggunakan jalan belakang. Bukan bagaimana untuk dipandang cemerlang, gemilang dan terbilang.
10. Tetapi parti politik adalah ruang untuk menyumbang budi dan jasa dengan kadar yang paling banyak.
11. Memikirkan tentang himpunan budi sebagai bekalan kita di hari esok.
Catatan Penulis:  Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas. Menurut pilot pesawat tersebut, di sepanjang penerbangan tersebut terdapat awan memayungi pesawat tersebut sedangkan tempat lain keadaan panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew penerbangan tersebut. Melihat kepada kejadian aneh itulah, pilot tersebut mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Subhanallah.


Klik DiSini Untuk Mengikuti Video Mengenai Peristiwa Ajaib Ini



KEINSAFAN DI PENGHUJUNG USIA

KEINSAFAN MENJELANG KEMATIAN

KAFAN PILIHAN HARUN AL-RASYID

Dalam suatu riwayat dikatakan, bahawa Harun Al-Rasyid telah memilih kain kafannya dan memegang kain kafan tersebut ketika sedang menghadapi sakaratul maut. Beliau memandang kain kafan itu sambil berkata: “Hartaku tidak akan pernah memberi manfaat kepadaku. Telah hilang semua kekuasaanku dari diriku.” (Al-Haqqah:28-29)

AL-MAKMUN MEMOHON RAHMAT

Pada waktu al-Makmun akan meninggal dia berbaring dan berkata: “Wahai Zat Yang tidak pernah musnah kekuasaan-Nya, rahmatilah orang yang telah hilang kekuasaannya ini.”

MENYESALI UMUR TELAH BERLALU

Ketika akan meninggal dunia Al-Mu’tashim berkata: “Seandainya aku tahu umurku hanya sebanyak ini, pasti aku tidak akan lalai dalam beramal.”

TUBUH AL-MUNTASHIR GEMENTAR

Al-Muntashir sangat gementar tubuhnya ketika akan meninggal dunia, lalu ditanyakan kepadanya: “Apakah tuan tidak apa-apa wahai Amirul Mukminin?” Dia menjawab: “Aku tidak apa-apa, hanya sahaja dunia ini telah musnah dan akhirat akan datang.”

TANGISAN SALMAN AL-FARISI

Ketika Salman akan meninggal dunia, maka dia menangis. Ditanyakan kepadanya: “Apa yang membuatmu menangis?” Beliau menjawab: “Aku bukan menangis kerana sedia akan meninggalkan dunia ini, akan tetapi Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita, hendaklah bekal salah seorang dari kita dari dunia hanyalah seperti bekal orang yang naik kenderaan (tidak terlalu banyak).

PENANTIAN IBRAHIM AN-NAKHA’I

Ketika Ibrahim An-Nakha’I dalam keadaan sakaratul maut, beliau menangis. Lalu ditanyakan kepadanya: “Mengapa kamu menangis?” Dia menjawab: “Aku menunggu utusan Allah yang akan memberitahu aku tentang syurga atau neraka.”

MENGENANG PERKARA REMEH

Ketika Ibnul Munkadirrahim dalam keadaan sakaratul maut, beliau menangis. Lalu ditanyakan kepada: “Mengapa engkau menangis?” Di menjawab: “Demi Allah, aku tidak menangis kerana dosa yang pernah aku lakukan. Akan tetapi aku merasa takut kepada sesuatu yang aku menganggapnya remeh, sedangkan di sisi Allah adalah perkara besar.”

MENEMPUH PERJALANAN JAUH

Ketika Fudhail akan meninggal dunia, beliau jatuh pengsan. Tidak lama selepas itu beliau membuka matanya dan berkata: “Alangkah jauhnya perjalanan yang akan aku tempuh. Namun alangkah sedikitnya bekal amal soleh yang telah aku persiapkan.”

MATI DALAM KEADAAN FAKIR

Ketika Ibnu Al-Mubarak dalam keadaan sakatratul maut, dia berkata kepada hamba sahayanya yang bernama Nashr: “Letakkanlah kepalaku di atas tanah!” Lalu Nashr menangis. Ibnu Al- Mubarak bertanya: “Mengapa kamu menangis?” Nashr menjawab:  “Aku teringat ketika dahulu engkau berada dalam kemewahan. Sedangkan sekarang engkau akan meninggal dunia dalam keadaan fakir dan terasing.” Ibnu Al-Mubarak berkata: “Diamlah! Sesungguhnya aku telah memohon kepada Allah agar menghidupkanku dengan kehidupan orang-orang kaya dan mematikan aku seperti kematian orang-orang fakir.” Kemudian Ibnul Al-Mubarak kembali berkata: “Talqinkanlah aku (bimbinglah aku untuk membaca kalimah tauhid).”

PENYESALAN AMIR IMNU ABDUL QAIS

Pada waktu Amir Ibnu Abdul Qais akan meninggal dunia, dia menangis, lalu ada orang yang bertanya kepadanya: “Apa yang membuatmu menangis?” Dia menjawab: “Aku menangis bukan kerana takut mati, dan juga bukan kerana menyesal kerana akan meninggalkan dunia. Akan tetapi aku menangis kerana terlalu cepat merasa haus pasa saat teriknya panas kerana berpuasa, dan juga terlalu cepatnya aku mengerjakan solat malam kerana musim sejuk.”

MENANGISI DIRI SENDIRI

Diriwayatkan bahawa ada salah seorang hamba Allah yang soleh akan meninggal dunia, maka isterinya pun menangis. Lalu orang itu berkata: “Apa sebenarnya yang membuatkan dirimu menangis?” Wanita itu menjawab: “Aku menangisi dirimu.” Dia berkata: “Jika kamu menangis, maka tangislah dirimu sendiri kerana aku telah menangis untuk masa ini selama empat puluh tahun yang lalu.

KEGELISAHAN YUSUF IBNU ASBAT

Ketika Yusuf Ibnu Asbat akan meninggal dunia, Khuzaifah menyaksikannya. Namun Khuzaifah melihat wajah Yusuf dalam keadaan gelisah. Dia bertanya: “Wahai Yusuf, apakah waktu ini untuk gelisah dan bersedih?” Yusuf menjawab: “Wahai Khuzaifah, bagaimana aku tidak gelisah dan susah, sedangkan aku belum mengetahui apakah aku telah mengerjakan sesuatu amalan yang diterima oleh Allah.” Dia mengaku tidak mengetahui bahawa Allah telah menerima salah satu amal solehnya, sedangkan menurutku, amal solehnya sangat banyak.”

MENEGUK GELAS KEMATIAN

Ketika Al-Muzani berkunjung ke rumah Imam Syafie yang pada waktu itu dalam keadaan sakit dan hampir menghembuskan nafas yang terakhir, maka Al-Muzani bertanya kepadanya: “Apa yang kamu rasakan wahai Syafie?” Beliau menjawab: “Aku akan pergi dari dunia, menginggalkan sanak-saudara, menjumpai amal-amal yang buruk, meneguk gelas kematian, dan menemui Allah SWT. Aku tidak tahu apakah nyawaku akan masuk syurga sehingga aku dapat istirehat, atau masuk neraka, sehingga aku merasa sengsara.”

KEGELISAHAN HASAN BIN ALI

Ketika Hasan bin Ali sakit tenat, Husain datang melihatnya, lalu dia berkata: “Wahai saudaraku, mengapa engkau merasa gelisah. Kamu akan menjumpai Rasulullah SAW dan Ali bin Abi Thalib, mereka berdua adalah ayahmu. Kamu berjalan ke depan akan menjumpai Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad dan mereka adalah ibumu. Kamu akan berjalan ke depan menjumpai Hamzah bin Ja’afar, mereka berdua adalah bapa saudaramu.” Hasan menjawab: “Wahai saudaraku, aku akan berjalan ke depan menuju suatu perkara yang tidak pernah aku temui.”

Lihatlah saudara-saudaraku sekalian, walaupun para sahabat telah dijamin syurga, namun mereka tetap merendahkan diri, mencari keredhaan dari Tuhan yang Maha Pemberi Keampunan. Ambillah iktibar dan pengajaran dari apa yang disampaikan.Melalui pembacaan kisah-kisah seperti mereka inilah dapat 'top-up' iman dan taqwa kita. Allahua’lam


Khamis, 24 November 2011

Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan



Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Penyelidikan Produk Halal, Universiti Putra Malaysia serta dengan mengambilkira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia terdahulu, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:
  1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
     
  2. Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
     
  3. Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
     
  4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
     
  5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh ) dimakan/diminum.
  6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dankuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
     
  7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
 Alkohol Menurut Pandangan Islam
Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 yang bersidang pada 11 - 12 April 1984 telah membincangkan Alkohol Menurut Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:



  1. Setiap minuman arak mengandungi alkohol. Bukan semua alkohol itu mengandungi arak. Alkohol dari proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis, tetapi alkohol yang dibuat bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis tetapi haram diminum.
     
  2. Minuman ringan yang dibuat sama caranya dengan membuat arak sama ada mengandungi sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
     
  3. Minuman ringan yang dibuat bukan dijadikan arak atau bahan yang mabuk dan tidak sama caranya dengan proses arak adalah halal.
     
  4. Tapai halal dimakan.
     
  5. Alkohol yang terjadi sampingan dalam proses pembuatan makanan tidak najis dan boleh dimakan.
     
  6. Ubat-ubatan dan pewangi yang ada kandungan alkohol adalah harus dan dimaafkan.

ARAK tetap HARAM walaupun setitis



Dipetik daripada Portal Rasmi Fatwa Malaysia

    Rabu, 23 November 2011

    Tanda-Tanda Kecil Berlakunya Kiamat

    TANDA-TANDA KECIL KIAMAT

    PERZINAAN BERLELUASA
    Rasulullah SAW telah bersabda:
    “Sesungguhnya di santara tanda-tanda akan datangnya Kiamat ialah (di antaranya) akan berleluasanya perzinaan” 
    (Sahih Bukhari dalam Kitab Al-‘Ilmi)



    RIBA BERMAHARAJALELA
    Nabi Muhammad SAW bersabda:
    “Menjelang datangnya Kiamat akan bermaharajalela riba”
    (Hadith Riwayat Thabrani)

    BERMAHARAJALELA MUZIK SERTA DIANGGAP HALAL
    Maksud dari Hadith Nabi Muhammad SAW:
    “Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, kerusuhan dan perubahan muka.” Ada yang bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah bilakah hak itu akan berlaku?” Baginda manjawab: “Apabila telah bermaharajalela muzik dan penyanyi-penyanyi wanita.”
    (Hadith Riwayat Ibnu Majah dengan Tahqiq Fuad Abdul Baqi)


                                              MINUMAN KERAS BERLELUASA DAN DIANGGAP HALAL
    Nabi Muhammad SAW bersabda:

    “Di antara tanda-tanda (telah dekatnya) Hari Kiamat ialah antara lainnya akan diminumnya arak.”
    (Sahih Muslim dalam Kitab Al-‘Ilmi)


    Antara Hadith lain:
    “Sesungguhnya akan ada segolongan dari umatku yang menghalalkan arak (minumam keras) dan memberinya dengan nama yang (label) lain.


    MEMPERINDAHKAN MASJID DAN BERMEGAH-MEGAH DENGANNYA
    Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
    “Tidak akan berlakunya Hari Kiamat sehingga manusia bermegah-megah dalam mendirikan masjid.”
    (Musnad Ahmad 3:134)
    “Di antara tanda-tanda telah dekatnya Kiamat ialh orang-orang bermegah-megah dalam mendirikan masjid.”
    (Sunan An-Nasai 2:23)

    BERLUMBA-LUMBA DALAM MENDIRIKAN BANGUNAN
    Maksud Hadith Nabi Muhammad SAW:
    “Dan di antara tanda telah dekatnya Hari Kiamat ialah akan engkau lihat orang-orang yang dahulunya berkaki ayam, bertelanjang, berpakaian compang-camping, miskin, mengembala kambing lantas mereka berlumba-lumba membangunkan rumah-rumah yang indah.”
    (Sahih Muslim 1:158)
    Hadith riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-Fitan:
    “Tidak akan dating Kiamat sehingga manusia berlumba-lumba dalam membuat bangunan.”

    Binalah Sebuah Kasih Sayang..
     HAMBA WANITA MELAHIRKAN ANAK TUANNYA
    Sabda Rasulullah SAW:
    “Dan akan saya beritahukan kepadamu tanda-tanda Hari Kiamat itu ialah apabila hamba wanita melahirkan anak tuannya.”
    (Sahih Bukhari dalam Kitab Al-Iman)
    Dan dalam riwayat Muslim dengan lafaznya:
    “Apabila hamba wanita melahirkan tuannya..”
    (Sahih Muslim 1:163)




    BANYAKNYA PEMBUNUHAN
    Maksud Hadith Nabi Muhammad SAW:
    “Tidak akan datang Hari Kiamat sehingga banyak huru hara (kerusuhan)”. Para sahabat bertanya: “Apakah huru hara atau rusuhan itu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Pembunuhan, Pembunuhan.”

    MASA (WAKTU) SEMAKIN SINGKAT
     Diriwayatkan dari Abu Hurairah katanya, telah bersabda Nabi SAW:
    “Tidak akan dating Kiamat sehingga waktu semakin berdekatan (semakin singkat), setahun seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu seperti sehari, sehari seperti sejam dan sejam terasa sangat sekejap.”
    (Musnad Ahmad 2:537-538)

    BANYAKNYA SYIRIK DALAM KALANGAN UMAT ISLAM
    Abu Daud dan Tarmizi meriwayatkan dari Tsuban r.a telah berkata, telah bersabda Rasulullah SAW:
    “Apabila pedang telah diletakkan pada umatku, maka ia tidak akan diangkat Hari Kiamat. Dan tidak akan dating Kiamat itu sehingga beberapa kabilah dari umatku megikuti tingkah laku kaum musyrik dan sehingga ada beberapa kabilah dari umatku yang menyembah berhala-hala.”
    (Hadith riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

     PENYAKIT BAKHIL DAN KIKIR BERLELUASA
    Rasulullah SAW telah bersabda:
    “Jagalah dirimu, jangan sampai berbuat zalim kerana kezaliman itu menyebabkan kegelapan pada Hari Kiamat. Dan jagalah dirimu, jangan sampai terkena penyakit syuhh (kedekut), kerana syuhh itulah yang merosak orang-orang sebelum kamu, iaitu mendorong mereka untuk melakukan pertumpahan darah dan menghalalkan sesuatu yang diharamkan ke atas mereka.”
    (Hadith riwayat Jabir bin Abdullah r.a)

    BANYAKNYA BERLAKU GEMPA BUMI
    Nabi Muhammad SAW bersabda:
    “Tidak akan datang Kiamat sehingga banyak terjadinya gempa bumi.”
    (Hadith riwayat Abu Hurairah)


    MENGUCAP SALAM KEPADA ORANG YANG DIKENALINYA SAHAJA
    “Sesungguhna di antara tanda-tanda telah dekatnya Hari Kiamat ialah manusia tidak mahu mengucapkan   salam kepada orang lain kecuali yang dikenalinya sahaja.”
    (Hadis Riwayat Ahmad)

    Bersama-samalah kita memohon keampunanNya sebelum terlambat..
    Ditaip Semula dan DiUbah Suai semula