Sabtu, 26 November 2011

KEINSAFAN DI PENGHUJUNG USIA

KEINSAFAN MENJELANG KEMATIAN

KAFAN PILIHAN HARUN AL-RASYID

Dalam suatu riwayat dikatakan, bahawa Harun Al-Rasyid telah memilih kain kafannya dan memegang kain kafan tersebut ketika sedang menghadapi sakaratul maut. Beliau memandang kain kafan itu sambil berkata: “Hartaku tidak akan pernah memberi manfaat kepadaku. Telah hilang semua kekuasaanku dari diriku.” (Al-Haqqah:28-29)

AL-MAKMUN MEMOHON RAHMAT

Pada waktu al-Makmun akan meninggal dia berbaring dan berkata: “Wahai Zat Yang tidak pernah musnah kekuasaan-Nya, rahmatilah orang yang telah hilang kekuasaannya ini.”

MENYESALI UMUR TELAH BERLALU

Ketika akan meninggal dunia Al-Mu’tashim berkata: “Seandainya aku tahu umurku hanya sebanyak ini, pasti aku tidak akan lalai dalam beramal.”

TUBUH AL-MUNTASHIR GEMENTAR

Al-Muntashir sangat gementar tubuhnya ketika akan meninggal dunia, lalu ditanyakan kepadanya: “Apakah tuan tidak apa-apa wahai Amirul Mukminin?” Dia menjawab: “Aku tidak apa-apa, hanya sahaja dunia ini telah musnah dan akhirat akan datang.”

TANGISAN SALMAN AL-FARISI

Ketika Salman akan meninggal dunia, maka dia menangis. Ditanyakan kepadanya: “Apa yang membuatmu menangis?” Beliau menjawab: “Aku bukan menangis kerana sedia akan meninggalkan dunia ini, akan tetapi Rasulullah SAW telah berpesan kepada kita, hendaklah bekal salah seorang dari kita dari dunia hanyalah seperti bekal orang yang naik kenderaan (tidak terlalu banyak).

PENANTIAN IBRAHIM AN-NAKHA’I

Ketika Ibrahim An-Nakha’I dalam keadaan sakaratul maut, beliau menangis. Lalu ditanyakan kepadanya: “Mengapa kamu menangis?” Dia menjawab: “Aku menunggu utusan Allah yang akan memberitahu aku tentang syurga atau neraka.”

MENGENANG PERKARA REMEH

Ketika Ibnul Munkadirrahim dalam keadaan sakaratul maut, beliau menangis. Lalu ditanyakan kepada: “Mengapa engkau menangis?” Di menjawab: “Demi Allah, aku tidak menangis kerana dosa yang pernah aku lakukan. Akan tetapi aku merasa takut kepada sesuatu yang aku menganggapnya remeh, sedangkan di sisi Allah adalah perkara besar.”

MENEMPUH PERJALANAN JAUH

Ketika Fudhail akan meninggal dunia, beliau jatuh pengsan. Tidak lama selepas itu beliau membuka matanya dan berkata: “Alangkah jauhnya perjalanan yang akan aku tempuh. Namun alangkah sedikitnya bekal amal soleh yang telah aku persiapkan.”

MATI DALAM KEADAAN FAKIR

Ketika Ibnu Al-Mubarak dalam keadaan sakatratul maut, dia berkata kepada hamba sahayanya yang bernama Nashr: “Letakkanlah kepalaku di atas tanah!” Lalu Nashr menangis. Ibnu Al- Mubarak bertanya: “Mengapa kamu menangis?” Nashr menjawab:  “Aku teringat ketika dahulu engkau berada dalam kemewahan. Sedangkan sekarang engkau akan meninggal dunia dalam keadaan fakir dan terasing.” Ibnu Al-Mubarak berkata: “Diamlah! Sesungguhnya aku telah memohon kepada Allah agar menghidupkanku dengan kehidupan orang-orang kaya dan mematikan aku seperti kematian orang-orang fakir.” Kemudian Ibnul Al-Mubarak kembali berkata: “Talqinkanlah aku (bimbinglah aku untuk membaca kalimah tauhid).”

PENYESALAN AMIR IMNU ABDUL QAIS

Pada waktu Amir Ibnu Abdul Qais akan meninggal dunia, dia menangis, lalu ada orang yang bertanya kepadanya: “Apa yang membuatmu menangis?” Dia menjawab: “Aku menangis bukan kerana takut mati, dan juga bukan kerana menyesal kerana akan meninggalkan dunia. Akan tetapi aku menangis kerana terlalu cepat merasa haus pasa saat teriknya panas kerana berpuasa, dan juga terlalu cepatnya aku mengerjakan solat malam kerana musim sejuk.”

MENANGISI DIRI SENDIRI

Diriwayatkan bahawa ada salah seorang hamba Allah yang soleh akan meninggal dunia, maka isterinya pun menangis. Lalu orang itu berkata: “Apa sebenarnya yang membuatkan dirimu menangis?” Wanita itu menjawab: “Aku menangisi dirimu.” Dia berkata: “Jika kamu menangis, maka tangislah dirimu sendiri kerana aku telah menangis untuk masa ini selama empat puluh tahun yang lalu.

KEGELISAHAN YUSUF IBNU ASBAT

Ketika Yusuf Ibnu Asbat akan meninggal dunia, Khuzaifah menyaksikannya. Namun Khuzaifah melihat wajah Yusuf dalam keadaan gelisah. Dia bertanya: “Wahai Yusuf, apakah waktu ini untuk gelisah dan bersedih?” Yusuf menjawab: “Wahai Khuzaifah, bagaimana aku tidak gelisah dan susah, sedangkan aku belum mengetahui apakah aku telah mengerjakan sesuatu amalan yang diterima oleh Allah.” Dia mengaku tidak mengetahui bahawa Allah telah menerima salah satu amal solehnya, sedangkan menurutku, amal solehnya sangat banyak.”

MENEGUK GELAS KEMATIAN

Ketika Al-Muzani berkunjung ke rumah Imam Syafie yang pada waktu itu dalam keadaan sakit dan hampir menghembuskan nafas yang terakhir, maka Al-Muzani bertanya kepadanya: “Apa yang kamu rasakan wahai Syafie?” Beliau menjawab: “Aku akan pergi dari dunia, menginggalkan sanak-saudara, menjumpai amal-amal yang buruk, meneguk gelas kematian, dan menemui Allah SWT. Aku tidak tahu apakah nyawaku akan masuk syurga sehingga aku dapat istirehat, atau masuk neraka, sehingga aku merasa sengsara.”

KEGELISAHAN HASAN BIN ALI

Ketika Hasan bin Ali sakit tenat, Husain datang melihatnya, lalu dia berkata: “Wahai saudaraku, mengapa engkau merasa gelisah. Kamu akan menjumpai Rasulullah SAW dan Ali bin Abi Thalib, mereka berdua adalah ayahmu. Kamu berjalan ke depan akan menjumpai Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad dan mereka adalah ibumu. Kamu akan berjalan ke depan menjumpai Hamzah bin Ja’afar, mereka berdua adalah bapa saudaramu.” Hasan menjawab: “Wahai saudaraku, aku akan berjalan ke depan menuju suatu perkara yang tidak pernah aku temui.”

Lihatlah saudara-saudaraku sekalian, walaupun para sahabat telah dijamin syurga, namun mereka tetap merendahkan diri, mencari keredhaan dari Tuhan yang Maha Pemberi Keampunan. Ambillah iktibar dan pengajaran dari apa yang disampaikan.Melalui pembacaan kisah-kisah seperti mereka inilah dapat 'top-up' iman dan taqwa kita. Allahua’lam


Tiada ulasan:

Catat Ulasan