Selasa, 30 Ogos 2011

Kisah Orang Soleh: Nabi Musa a.s Dengan Seorang 'Abid

Kisah Orang Soleh


Diceritakan oleh sesetengah golongan solehin, katanya:


Pada zaman Bani Israel, terdapat seorang lelaki 'Abid (yang banyak ibadahnya) dan tinggal di dalam satu gua, berjauhan daripada manusia kerana hendak menumpukan segala perhatiannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak lagi keluar dari gua itu untuk menemui sesiapa pun, dan tidak juga membenarkan orang datang menemuinya di situ. Jadi dia menetap di dalam gua itu seorang diri beribadah kepada Allah sepanjang siang dan malam.


Di dalam gua itu pula ada sebuah mata air jernih, yang diganakannya untuk bersuci ketika hendak bersembahyang dan juga untuk minumannya sehari-hari. Makannannya pula adalah daripada tumbuh-tumbuhan yang hidup di sekitar gua itu.


Pada siang hari, dia sentiasa berpuasa, dan pada malamnya pula dia beribadah dan bermunajat kepada Allah s.w.t. Lantaran itu, kelihatan pada wajahnya cahaya kebahagiaan berwarna putih kekuning-kuningan.


Nabi Musa a.s mendengar tentang orang Abid ini, dan ingin sekali bertemu dengannya, meskipun orang ramai mengatakan kepadanya bahawa orang ini tidak mahu menemui sesiapa pun.


Nabi Musa a.s pun pergi ke gua itu siang harinya, maka dia mendapati orang Abid itu sedang khusyuk dalam sembahyang dan berzikir kepada Allah. Apabila dipanggil, dia tidak mahu keluar dari gua itu. Nabi Musa a.s pun kembali dengan kecewa.


Kemudian pada malamnya, Nabi Musa a.s datang sekali lagi, dan didapatinya sedang sibuk bermunajat kepada Allah Maha Besar.


Gua merupakan antara tempat yg terbaik untuk ber'uzlah' kepada Allah
Nabi Musa a.s tidak menghiraukan keadaannya, lalu masuk ke dalam gua itu dan memberi salam seraya mengenalkan dirinya, iaitu Nabi Musa a.s yang datang.


Mungkin kerana dikiranya Nabi Musa a.s yang datang, maka dia pun bangun datang menemuinya, sambil menjawab salamnya.


"Hai manusia!" kata Nabi Musa a.s, "kasihanilah dirimu itu, sesungguhnya Tuhanmu itu adalah Maha Belas Kasihan!"


"Wahai Nabi Allah," jawabnya. "Aku tahu Tuhan itu Maha Belas Kasihan. Tetapi aku bimbang, jika aku tidak membuat kebaikan, mana tahu kelak aku dipanggilnya ketika aku dalam kelalaian, maka aku akan mati sia-sia dalam keadaan mencuaikan khidmatku kepada Tuhanku," jawab orang Abid itu dengan penuh perasaan sedih.


"Apakah engkau ada sesuatu keperluan kepada Tuhanmu, boleh aku sampaikan kepadaNya!" tanya Nabi Musa a.s.


"Ada satu keperluan yang besar," jawabnya.


"Apa dia?" tanya Nabi Musa a.s lagi.


"Mintalah kepadaNya supaya diberikan aku redhaNya, dan jangan sampai aku bergantung kepada sesiapa pun selain Dia sahaja, sehinggalah aku menemui ajalku dan berjumpa dengan Dia," orang Abid itu meminta Nabi Musa menyampaikan permohonannya kepada Allah s.w.t.


Apabila Nabi Musa a.s pergi ke Bukit Tursina untuk bermunajat kepada Allah dan untuk menghampirkan diri kepadaNya, maka dia pun telah terlupa untuk menyampaikan pesanan orang Abid itu disebabkan terlalu lena dia dengan kelazatan mendengar Kalam Tuhannya.


Maka Allah s.w.t pun mengingatkan Nabi Musa a.s akan pesanan itu. FirmanNya:


"Hai Musa a.s sedarlah diri dari kelalaianmu akan pesanan orang Abid itu. Dia tidak ada helah hendak mengelak diri lagi, maka Nabi Musa a.s berkata:


"Ya Tuhanku! Bukankah Engkau mengetahui dari hal apa yang dia katakan itu!"


Berdoalah meminta keampunan dariNya.. (gambar hiasan)
Allah berfirman pula:


"Hai Musa! Pergilah kepadanya, dan katakan kepadanya, biarlah dia beribadah dan bermunajat siang dan malam terus menerus sekalipun, namun dia sudah tetap tertulis sebagai ahli neraka, kerana apa yang telah dilakukannya dari dosa dan kesalahan yang tidak terkira banyaknya!"


Nabi Musa a.s pun datang sekali lagi kepada orang Abid itu, lalu memberitahunya apa yang difirmankan oleh Allah Ta'ala mengenai dirinya, dan bahawasanya dia adalah dari ahli neraka, disebabkan terlalu banyak dosa dan kesalahan yang telah dilakukannya pada masa-masa yang lalu.


"Baiklah", kata orang Abid itu. "Aku sambut baik apa yang telah ditetapkan oleh Tuhanku, kerana aku tahu bahawa keputusanNya itu tentu ada hikmahnya, dan setiap sesuatu itu berlaku dengan kehendak dan kekuasaanNya, tiada siapa pun yang dapat mencampuri keputusanNya itu."


Orang Anid itu kemudian menangis dengan penuh hiba dan resah sekali. Dia tidak berhenti menangis sehingga Nabi Musa a.s merasa kasihan kepadanya.


"Wahai Nabi Allah!" katanya lagi. "Demi kemuliaan Tuhanku dan keagunganNya, aku akan tetap duduk di pintuNya, meskipun Dia akan menghalauku seribu kali, dan aku tidak akan berputus asa kepadaNya, meskipun Dia membakarku dan mengoyak-ngoyak diriku!


Orang Abid itu terus kembali kepada sembahyangnya dan terus bermunajat kepada Tuhan dengan penuh khusyuk dan ikhlas.


Apabila Nabi Musa a.s kembil lagi ke Bukit Tursina untuk munajatnya seperti biasa, maka bagindapun berkata kepada Tuhan:


"Hai Tuhanku! Engkau tentu lebih mengetahui apa yang dikatakan oleh orang Abid itu. Aku merasa kasihan kepadanya!"


Maka Allah berfirman pula:


"Hai Musa! Sekarang pergi kepadanya, dan gembirakanlah dia bahawa dia adalah dari ahli syurga, kerana dia telah diliputi rahmatKu dan kurniaKu! Kemudian katakanlah juga kepadanya: Dia telah menerima keputusanKu yang pertama itu dengan penuh kesabaran dan redha. Dia telah bertenang mendengar hukumanKu yang berat itu. Katakanlah juga kepadanya: Jika dia membuat dosa memenuhi segala petala langit dan bumi sekalipun, nescaya akan Aku ampunkan dia. Bukankah Aku ini Tuhan yang Maha Perkasa dan Maha Pengampun?"


Mendengar berita baru ini, Nabi Musa a.s sangat gembira. Dia segera pergi mendapatkan orang Abid itu untuk menyampaikan berita tersebut. Apabila berita itu diterimanya, orang Abid itu terus tunduk merebahkan dirinya ke atas tanah, bersujud kepada Allah serta mengucapka berbagai-bagai pujian ke atas takdir Allah yang baru disampaikan oleh Nabi Musa a.s itu.


Dia terus beribadat dan bermunajat di dalam gua itu seorang dirinya, sehinggalah dia menemui ajalnya. Semoga Allah s.w.t meredhainya serta memberikan kita rahmat apabila mendengar ceritanya.


Ditaip semula dan diubah suai daripada Kitab Sejarah Kekeramatan 99 Wali Allah, susunan Abu Mazaya Al-Hafiz.

1 ulasan:

  1. thanks..................cerita yg penuh dgn hikmah

    BalasPadam