Dikisahkan, bahawasanya di saat Rasulullah s.a.w sedang asyik bertawaf di Ka'bah baginda melihat seorang lelaki dihadapannya bertawaf, sambil berzikir, Ya Karim! Ya Karim!
Rasulullah s.a.w menirukannya dengan membaca "Ya Karim! Ya Karim!"
Orang itu lalu berhenti di salah satu sudut Ka'bah dan berzikir lagi, "Ya Karim! Ya Karim! Ya Karim! Rasulullah s.a.w yang berada di belakangnya mengikut zikirnya "Ya Karim! Ya Karim!"
Merasa seperti dirinya diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan terlihat oleh seorang lelaki yang gagah perkasa, lagi kacak yang belum pernah dikenalinya. Orang itu berkata:
"Wahai pemuda yang kacak! Apakah engkau memang sengaja merperolok-olokkanku, kerana aku ini adalah orang Arab Badwi! Kalaulah bukan kerana kekacakanmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan kuadukan kepada Rasulullah s.a.w."
Mendengar amaran seorang Badwi itu, Rasulullah s.a.w tersenyum, lalu bertanya:
"Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?"
"Belum", jawab orang Badwi tersebut.
"Jadi bagaimana engkau beriman kepadanya?"
"Saya percaya dan sangat yakin atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya," kata orang Arab Badwi itu pula.
Rasulullah s.a.w pun berkata kepadanya:
"Wahai orang Arab! Ketahuilah, aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu di akhirat!"
Melihat Nabi s.a.w di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya sendiri.
"Tuan ini Nabi Muhammad kah?"
"Ya", jawab Rasulullah s.a.w.
Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w.
Melihat hal itu, Rasulullah segera menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya:
"Wahai orang Arab! Janganlah berbuat seperti ini. Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada majikannya. Ketahuilah, Allah mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang takbur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya."
Makkah Al-Mukarramah |
Ketika itulah, Malakikat Jibril a.s turun membawa berita dari langit seraya berkata: "Ya Muhammad! Tuhan al-Salam (punca keselamatan) menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan belas kasih Allah s.w.t. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan menghisabnya di hari Mashyar nanti, akan menimbang semua amalannya, sama ada yang kecil mahupun yang besar!
Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. Maka orang Arab Badwi itu pula berkata:
"Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan denganNya!" kata orang Arab Badwi itu.
"Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan Tuhan?" Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya.
"Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahNya, jawab orang itu. "Jika Dia memperhitungkan betapa keluasan keampunanNya maka hambapun akan memperhitungkan terhadap kesilapan-kesilapan yang telah hamba lakukan. Jika Dia memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawanNya!"
Mendengar ucapan orang Arab Badwi itu, maka Rasulullah s.a.w pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab Badwi itu, air mata Rasulullah s.a.w menitis membasahi janggutnya. Lantaran itu, Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata:
"Ya Muhammad! Tuhan al-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangisanmu, penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidNya, sehingga ia bergoncang. Nah, katakan kepada sahabatmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampunkan segala kesalahannya dan dia akan menjadi sahabatmu di syurga nanti!"
Iktibar/Pengajaran:
- Apapun ucapan zikir (yqang diajarkan Rasulullah s.a.w) bagi mengingati Allah s.w.t adalah sangat digalakkan. Selain akan mendapat pahala yang besar disisi Allah, seperti terlepas dari hisab sebagaimana kisah yang berlaku ke atas Arab Badwi di atas, ianya juga sebagai jaminan ketenteraman dan ketenangan jiwa seorang muslim. Hal ini dinyatakan oleh Allah taa'la dalam Al-Quran.
Ertinya:
"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tentera hati mereka dengan zikrullah (zikir kepada Allah). Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, hati akan menjadi tenang" (Al-Ra'd : 28)
- Muhasabah diri yakni sentiasa menilai, mengkaji dan memperhitungkan amalan diri sendiri adalah sangat penting. Kerana dengan muhasabah dirilah akan dapat menyedari seluruh kesalahan dan dosa yang dilakukan. Denagn demikian ianya dapat mempertingkatkan ketakwaan seseorang terhadap Allah s.w.t. Lagipun, seseorang yang sibuk dalam menghitung kesalahan dan kesilapan dirinya akan tiada masa lagi untuk menilai dan memperkatakan kesalahan orang lain. Dengan demikian jadilah ia seorang yang bijak sebagaimana yang dinyatakan dalam satu hadith Rasulullah s.a.w:
Masjid Nabawi As-Syarif |
Lihatlah Pengorbanan Rasulullah dlm menyebarkan syiar Islam dalam animasi ini
Ditaip semula dan diubahsuai daripada Kitab Sejarah Kekeramatan 99 Wali Allah karangan Abu Mazaya Al-Hafidz
Tiada ulasan:
Catat Ulasan