Rabu, 31 Ogos 2011

Suasana Sebelum Hari Raya: Semuanya Pulang Ke Kampung

PEMANDANGAN SEKITAR SEBERANG JAYA PETANG SEHARI SEBELUM HARI RAYA AIDILFITRI 2011 (29 Ogos 2011)

Laluan Utama Lengang dan Agak Sepi Jika dibandingkan dengan hari biasa.

Dari Jauh Kelihatan Pulau Pinang yang aman sentosa

Anak-Anak Perantauan Semuanya pulang ke kampung halaman masing-masing

Rumah-rumah sekitar Seberang Jaya tidak seperti selalu yang dibanjiri dengan kanak-kanak

Antara Laluan 'short-cut' yang menghubungkan di antara Seberang Jaya dan Pauh Jaya

UITM juga sepi daripada kehadiran para pelajar yang pulang beraya ke kampung masing-masing

Pemandangan UITM Pulau Pinang dari atas
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir Dan Batin

Hak Cipta Terpelihara

Idea Asal Penulis


Selasa, 30 Ogos 2011

Kisah Orang Soleh: Nabi Musa a.s Dengan Seorang 'Abid

Kisah Orang Soleh


Diceritakan oleh sesetengah golongan solehin, katanya:


Pada zaman Bani Israel, terdapat seorang lelaki 'Abid (yang banyak ibadahnya) dan tinggal di dalam satu gua, berjauhan daripada manusia kerana hendak menumpukan segala perhatiannya kepada Allah s.w.t. Dia tidak lagi keluar dari gua itu untuk menemui sesiapa pun, dan tidak juga membenarkan orang datang menemuinya di situ. Jadi dia menetap di dalam gua itu seorang diri beribadah kepada Allah sepanjang siang dan malam.


Di dalam gua itu pula ada sebuah mata air jernih, yang diganakannya untuk bersuci ketika hendak bersembahyang dan juga untuk minumannya sehari-hari. Makannannya pula adalah daripada tumbuh-tumbuhan yang hidup di sekitar gua itu.


Pada siang hari, dia sentiasa berpuasa, dan pada malamnya pula dia beribadah dan bermunajat kepada Allah s.w.t. Lantaran itu, kelihatan pada wajahnya cahaya kebahagiaan berwarna putih kekuning-kuningan.


Nabi Musa a.s mendengar tentang orang Abid ini, dan ingin sekali bertemu dengannya, meskipun orang ramai mengatakan kepadanya bahawa orang ini tidak mahu menemui sesiapa pun.


Nabi Musa a.s pun pergi ke gua itu siang harinya, maka dia mendapati orang Abid itu sedang khusyuk dalam sembahyang dan berzikir kepada Allah. Apabila dipanggil, dia tidak mahu keluar dari gua itu. Nabi Musa a.s pun kembali dengan kecewa.


Kemudian pada malamnya, Nabi Musa a.s datang sekali lagi, dan didapatinya sedang sibuk bermunajat kepada Allah Maha Besar.


Gua merupakan antara tempat yg terbaik untuk ber'uzlah' kepada Allah
Nabi Musa a.s tidak menghiraukan keadaannya, lalu masuk ke dalam gua itu dan memberi salam seraya mengenalkan dirinya, iaitu Nabi Musa a.s yang datang.


Mungkin kerana dikiranya Nabi Musa a.s yang datang, maka dia pun bangun datang menemuinya, sambil menjawab salamnya.


"Hai manusia!" kata Nabi Musa a.s, "kasihanilah dirimu itu, sesungguhnya Tuhanmu itu adalah Maha Belas Kasihan!"


"Wahai Nabi Allah," jawabnya. "Aku tahu Tuhan itu Maha Belas Kasihan. Tetapi aku bimbang, jika aku tidak membuat kebaikan, mana tahu kelak aku dipanggilnya ketika aku dalam kelalaian, maka aku akan mati sia-sia dalam keadaan mencuaikan khidmatku kepada Tuhanku," jawab orang Abid itu dengan penuh perasaan sedih.


"Apakah engkau ada sesuatu keperluan kepada Tuhanmu, boleh aku sampaikan kepadaNya!" tanya Nabi Musa a.s.


"Ada satu keperluan yang besar," jawabnya.


"Apa dia?" tanya Nabi Musa a.s lagi.


"Mintalah kepadaNya supaya diberikan aku redhaNya, dan jangan sampai aku bergantung kepada sesiapa pun selain Dia sahaja, sehinggalah aku menemui ajalku dan berjumpa dengan Dia," orang Abid itu meminta Nabi Musa menyampaikan permohonannya kepada Allah s.w.t.


Apabila Nabi Musa a.s pergi ke Bukit Tursina untuk bermunajat kepada Allah dan untuk menghampirkan diri kepadaNya, maka dia pun telah terlupa untuk menyampaikan pesanan orang Abid itu disebabkan terlalu lena dia dengan kelazatan mendengar Kalam Tuhannya.


Maka Allah s.w.t pun mengingatkan Nabi Musa a.s akan pesanan itu. FirmanNya:


"Hai Musa a.s sedarlah diri dari kelalaianmu akan pesanan orang Abid itu. Dia tidak ada helah hendak mengelak diri lagi, maka Nabi Musa a.s berkata:


"Ya Tuhanku! Bukankah Engkau mengetahui dari hal apa yang dia katakan itu!"


Berdoalah meminta keampunan dariNya.. (gambar hiasan)
Allah berfirman pula:


"Hai Musa! Pergilah kepadanya, dan katakan kepadanya, biarlah dia beribadah dan bermunajat siang dan malam terus menerus sekalipun, namun dia sudah tetap tertulis sebagai ahli neraka, kerana apa yang telah dilakukannya dari dosa dan kesalahan yang tidak terkira banyaknya!"


Nabi Musa a.s pun datang sekali lagi kepada orang Abid itu, lalu memberitahunya apa yang difirmankan oleh Allah Ta'ala mengenai dirinya, dan bahawasanya dia adalah dari ahli neraka, disebabkan terlalu banyak dosa dan kesalahan yang telah dilakukannya pada masa-masa yang lalu.


"Baiklah", kata orang Abid itu. "Aku sambut baik apa yang telah ditetapkan oleh Tuhanku, kerana aku tahu bahawa keputusanNya itu tentu ada hikmahnya, dan setiap sesuatu itu berlaku dengan kehendak dan kekuasaanNya, tiada siapa pun yang dapat mencampuri keputusanNya itu."


Orang Anid itu kemudian menangis dengan penuh hiba dan resah sekali. Dia tidak berhenti menangis sehingga Nabi Musa a.s merasa kasihan kepadanya.


"Wahai Nabi Allah!" katanya lagi. "Demi kemuliaan Tuhanku dan keagunganNya, aku akan tetap duduk di pintuNya, meskipun Dia akan menghalauku seribu kali, dan aku tidak akan berputus asa kepadaNya, meskipun Dia membakarku dan mengoyak-ngoyak diriku!


Orang Abid itu terus kembali kepada sembahyangnya dan terus bermunajat kepada Tuhan dengan penuh khusyuk dan ikhlas.


Apabila Nabi Musa a.s kembil lagi ke Bukit Tursina untuk munajatnya seperti biasa, maka bagindapun berkata kepada Tuhan:


"Hai Tuhanku! Engkau tentu lebih mengetahui apa yang dikatakan oleh orang Abid itu. Aku merasa kasihan kepadanya!"


Maka Allah berfirman pula:


"Hai Musa! Sekarang pergi kepadanya, dan gembirakanlah dia bahawa dia adalah dari ahli syurga, kerana dia telah diliputi rahmatKu dan kurniaKu! Kemudian katakanlah juga kepadanya: Dia telah menerima keputusanKu yang pertama itu dengan penuh kesabaran dan redha. Dia telah bertenang mendengar hukumanKu yang berat itu. Katakanlah juga kepadanya: Jika dia membuat dosa memenuhi segala petala langit dan bumi sekalipun, nescaya akan Aku ampunkan dia. Bukankah Aku ini Tuhan yang Maha Perkasa dan Maha Pengampun?"


Mendengar berita baru ini, Nabi Musa a.s sangat gembira. Dia segera pergi mendapatkan orang Abid itu untuk menyampaikan berita tersebut. Apabila berita itu diterimanya, orang Abid itu terus tunduk merebahkan dirinya ke atas tanah, bersujud kepada Allah serta mengucapka berbagai-bagai pujian ke atas takdir Allah yang baru disampaikan oleh Nabi Musa a.s itu.


Dia terus beribadat dan bermunajat di dalam gua itu seorang dirinya, sehinggalah dia menemui ajalnya. Semoga Allah s.w.t meredhainya serta memberikan kita rahmat apabila mendengar ceritanya.


Ditaip semula dan diubah suai daripada Kitab Sejarah Kekeramatan 99 Wali Allah, susunan Abu Mazaya Al-Hafiz.

Isnin, 29 Ogos 2011

Zun Nun Al-Mishri : Kala Jengking, Katak dan Ular

Sungai Nil yang terletak di Mesir
Cerita Orang Soleh

Dikatakan, bahawa Zun Nun Al-Mishri r.a (seorang wali terkenal) pernah bercerita, katanya:

Ketika saya bersiar-siar di tepi Sungai Nil, melihat kenikmatan dan keindahan ciptaan Tuhan yang Maha Agung, saya telah terserempak dengan seekor kala jengking yang besar merayap dengan cepatnya.



Saya segera mencari batu untuk membunuhnya, akan tetapi kala jengking itu adalah lebih cepat daripadaku. Ia berlari dengan ligatnya unutk menyelamatkan dirinya hingga akhirnya ia terjatuh ke dalam Sungai Nil.

Tiba-tiba, muncul seekor katak di atas permukaan air tersebut, maka segeralah sang kala jengking itu melompat ke atas belakangnya, maka sang katak pun berenang-renang segera menuju ke arah pantai Sungai Nil di sebelahnya. Apabila sampai saja sang katak disitu, kala jengking itu pun melompat pula naik ke atas daratan, lalu menghilang.

Sementara saya memerhatikan telatah katak dan kala jengking, saya turut berlari-lari meniti jambatan hingga saya sampai ke tebing sungai yang berhadapan.

Saya mencari-cari kala jengking itu dari bekas-bekas jalannya, sehingga saya tiba ke sebuah pondok kecil. Saya melihat ke dalamnya, dan didapati ada seorang lelaki yang sedang mabuk, tidak sedarkan diri lagi dan terbaring di atas tanah. Ketika itu juga saya lihat ada seekor ular yang hendak mematuk orang mabuk itu, maka tiba-tiba sang kala jengking tadi datang dan menyengatnya hinggalah ular itu mati.

Saya lebih takjub lagi melihat perkara yang berlaku ini. Lalu saya bersyukur kepada Allah Ta'ala yang telah mengelakkan saya dari membunuh kala jengking tadi. Kalau tidak, tentulah lelaki yang mabuk itu akan dipatuk ular tadi. Semuanya ada hikmahnya!

Saya pun mengejutkan orang mabuk itu. Dia tersedar dari tidurnya, dan sebaik sahaja dia lihat ada seekor ular di sampingnya, lalu dia bangun terperanjat, ingin melarikan diri, maka saya menahannya seraya berkata:
"Jangan takut! Ular itu sudah mati," kataku.

"Sudah mati?" katanya. "Bagaimana ia boleh berada disini?"

Saya pun menceritakan segala yang berlaku antaraku dan kala jengking itu, dan segala yang saya saksikan ketika baru sampai di pondok itu. Lelaki itu kagum mendengar ceritaku dan berasa insaf atas perbuatan jahatnya.

Lalu dia mengangkat kepalanya ke arah langit, seraya bermunajat dengan air matanya jatuh berderai, katanya:

"Begitu rahmat Engkau terhadap hamba-Mu! Aku yang selalu menderhakaiMu, Engkau selamatkan aku dari bahaya yang boleh membinasakanku, padahal aku mabuk dan sedang melanggar perintahMu, Engkau selamatkan aku dari bahaya yang boleh membinasakanku, padahal aku mabuk dan sedang melanggar perintahMu. Betapa Engkau memberikan rahmatMu kepada orang yang mentaatiMu, orang yang selalu menjaga segala perintahMu? "Sememangnya manusia ini tidak tahu mengenang budi!"

"Ya Tuhan Maha Agung Maha Mulia! Aku berjanji kepadaMu, bahawa aku akan menjaga diriku, dan tidak akan menderhakaiMu lagi selepas hari ini!

Kemudian lelaki itu berpaling kepadaku dan berkata:

"Engkau siapa?"

"Aku Zun-Nun," jawabku.

"Terima Kasih setinggi-tingginya Zun-Nun. Kerana ceritamu ini aku menjadi insaf dan aku akan kembali ke jalan Tuhanku."

Lelaki itu berlalu pergi, dan perasaan taubat kelihatan di wajahnya. Dia telah mendapat taufiq dari Allah, mudah-mudahan dia menjadi orang yang soleh.


Ditaip semula dan diubahsuai daripada 'Kitab Mukhtasoru Raudhatur Riyahin fi Manaqibi Solihin', karangan Abu Mazaya Al-Hafiz

"MEROKOK : MAKRUH ATAU HARAM..?"


Mengikut kajian, setiap sedutan mampu memendekkan usia sebanyak 11 minit!
"SEKIRANYA KITA MASIH PUNYA IMAN, RENUNGKANLAH DAN FIKIRKANLAH.....!!"

".....Dan Janganlah Kamu Sengaja Mencampakkan Diri Kamu Ke Dalam Lembah Kebinasaan...."
(Surah Al-Baqarah:195)

"Merokok Adalah Jelas HARAM Hukumnya, Berdasarkan Dalil Syarak' Dan Hasil Kajian Yang Dilakukan Oleh Pakar Kesihatan." - Sheikh Naseer Farid Wasel (Bekas Mufti Mesir)

Dahulu:
Ulama' menyatakan hukum merokok itu adalah makruh berdasarkan 'baunya' yang kurang menyenangkan.

Kini:
Sebilangan besar ulama' menfatwakan bahawa 'MEROKOK ITU HARAM', kenapa??

1. Dari Sudut Kesihatan....
Kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar kesihatan sama ada Islam atau bukan Islam terhadap kesihatan seseorang perokok, jelas didapati merokok adalah membahayakan kesihatan malah ia diakui oleh semua pihak, sehingga tertulis pada setiap kotak rokok'Amaran Oleh Kerajaan Malaysia, Merokok Membahayakan Kesihatan'. Bukan itu sahaja, malah turut diselitkan pada kotak gambar kecil akibat merokok. Tetapi masih ramai yang tidak menyedari akan kesan akibat merokok terhadap kesihatan mereka baik pada diri orang yang merokok, keluarga dan masyarakat yang terdedah kepada pencemaran asap najis rokok.

Berikut adalah hasil kajian bahan-bahan yang terdapat dalam sebatang rokok:



2. Dari Sudut Pembaziran...
Islam melarang sama sekali, seperti yang kita sedia maklum, Rukun Islam terdiri daripada 5 rukun, iaitu:

1.            Mengucap Dua Kalimah Syahadah-------SUDAH
2.            Sembahyang 5 Waktu Sehari Semalam-------SUDAH
3.            Berpuasa DiBulan Ramadhan------------SUDAH
4.            Menunaikan Zakat--------------SUDAH
5.            Mengerjakan Haji---------------BELUM..!! 
6.            (atas alasan 'tiada kemampuan (kewangan)'.)
Benarkah kita tiada kemampuan (kewangan)? Mari kita lihat berapa banyak wang yang telah kita belanjakan unutk rokok yang 'disayangi'..

1 Hari 1 Kotak = RM 5
1 Tahun 360 Kotak = RM 1800
10 Tahun 3600 Kotak = RM 18000

Wang sejumlah RM 18000 dalam masa 10 tahun yang dibelanjakan untuk rokok sudah cukup untuk kita menunaikan Rukun Islam Ke-5 yakni Menunaikan Fardhu Haji, tanpa kita sedari kita bakar wang kita begitu sahaja.



Logo Philip Morris USA


Kilang Pembuatan Rokok di Philip Morris
3. Dari Sudut Kebangkitan Islam...
Pembekal tembakau rokok terbesar dunia adalah 'Philip Morris' syarikat ini berpengkalan di Amerika Syarikat yang menguasai lebih 70% tembakau rokok terbesar dunia dan bukanlah rahsia lagi bahawa syarikat ini telah mengistiharkan bahawa sebahagian besar keuntungan dari hasil jualan tembakau rokok disumbangkan  kepada ekonomi Amerika Syarikat dan Yahudi, yang hari ini mencipta senjata-senjata canggih untuk memusnahkan negara-negara Islam, membunuh rakyat dan memusnahkan negara Palestin, Afghanistan, Iraq, dan kini membuat persiapan untuk menyerang Syria, Iran dan lain-lain negara Islam.



Bom Phosporus yang dilancarkan oleh Israel hasil keuntungan rokok kita
Kita yang merokok tanpa kita sedari, "Kitalah yang memberi sumbangan besar kepada ekonomi Amerika dan Yahudi, kita ada saham di atas kematian saudara-saudara Islam kita."

Kesan Bom Phosporus Israel terhadap rakyat Palestin
Kesan Bom Phosporus Israel yang dilancarkan

Fikir-fikirkanlah... Allahua'lam        


Idea Asal Penulis

Ahad, 28 Ogos 2011

Kisah Orang Soleh: Seorang Badwi & Titisan Air Mata Rasulullah SAW.

 Kisah Orang Soleh

 
D
ikisahkan, bahawasanya di saat Rasulullah s.a.w sedang asyik bertawaf di Ka'bah baginda melihat seorang lelaki dihadapannya bertawaf, sambil berzikir, Ya Karim! Ya Karim!


Rasulullah s.a.w menirukannya dengan membaca "Ya Karim! Ya Karim!"

Orang itu lalu berhenti di salah satu sudut Ka'bah dan berzikir lagi, "Ya Karim! Ya Karim! Ya Karim! Rasulullah s.a.w yang berada di belakangnya mengikut zikirnya "Ya Karim! Ya Karim!"
Merasa seperti dirinya diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan terlihat oleh seorang lelaki yang gagah perkasa, lagi kacak yang belum pernah dikenalinya. Orang itu berkata:

"Wahai pemuda yang kacak! Apakah engkau memang sengaja merperolok-olokkanku, kerana aku ini adalah orang Arab Badwi! Kalaulah bukan kerana kekacakanmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan kuadukan kepada Rasulullah s.a.w."

Mendengar amaran seorang Badwi itu, Rasulullah s.a.w tersenyum, lalu bertanya:

"Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?"

"Belum", jawab orang Badwi tersebut.

"Jadi bagaimana engkau beriman kepadanya?"

"Saya percaya dan sangat yakin atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya," kata orang Arab Badwi itu pula.

Rasulullah s.a.w pun berkata kepadanya:

"Wahai orang Arab! Ketahuilah, aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu di akhirat!"

Melihat Nabi s.a.w di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya sendiri.

"Tuan ini Nabi Muhammad kah?"

"Ya", jawab Rasulullah s.a.w.

Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah s.a.w.

Melihat hal itu, Rasulullah segera menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya:

"Wahai orang Arab! Janganlah berbuat seperti ini. Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada majikannya. Ketahuilah, Allah mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang takbur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya."

Makkah Al-Mukarramah

Ketika itulah, Malakikat Jibril a.s turun membawa berita dari langit seraya berkata: "Ya Muhammad! Tuhan al-Salam (punca keselamatan) menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan belas kasih Allah s.w.t. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan menghisabnya di hari Mashyar nanti, akan menimbang semua amalannya, sama ada yang kecil mahupun yang besar!

Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. Maka orang Arab Badwi itu pula berkata:

"Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan denganNya!" kata orang Arab Badwi itu.

"Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan Tuhan?" Rasulullah s.a.w bertanya kepadanya.

"Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahNya, jawab orang itu. "Jika Dia memperhitungkan betapa keluasan keampunanNya maka hambapun akan memperhitungkan terhadap kesilapan-kesilapan yang telah hamba lakukan. Jika Dia memperhitungkan kebakhilan hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawanNya!"

 Mendengar ucapan orang Arab Badwi itu, maka Rasulullah s.a.w pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab Badwi itu, air mata Rasulullah s.a.w menitis membasahi janggutnya. Lantaran itu, Malaikat Jibril turun lagi seraya berkata:

"Ya Muhammad! Tuhan al-Salam menyampaikan salam kepadamu dan berfirman: Berhentilah  engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangisanmu, penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidNya, sehingga ia bergoncang. Nah, katakan kepada sahabatmu itu, bahawa Allah tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah sudah mengampunkan segala kesalahannya dan dia akan menjadi sahabatmu di syurga nanti!"

Iktibar/Pengajaran:

  1. Apapun ucapan zikir (yqang diajarkan Rasulullah s.a.w) bagi mengingati Allah s.w.t adalah sangat digalakkan. Selain akan mendapat pahala yang besar disisi Allah, seperti terlepas dari hisab sebagaimana kisah yang berlaku ke atas Arab Badwi di atas, ianya juga sebagai jaminan ketenteraman dan ketenangan jiwa seorang muslim. Hal ini dinyatakan oleh Allah taa'la dalam Al-Quran.

    Ertinya:
    "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tentera hati mereka dengan zikrullah (zikir kepada Allah). Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu, hati akan menjadi tenang" (Al-Ra'd : 28)

  2. Muhasabah diri yakni sentiasa menilai, mengkaji dan memperhitungkan amalan diri sendiri adalah sangat penting. Kerana dengan muhasabah dirilah akan dapat menyedari seluruh kesalahan dan dosa yang dilakukan. Denagn demikian ianya dapat mempertingkatkan ketakwaan seseorang terhadap Allah s.w.t. Lagipun, seseorang yang sibuk dalam menghitung kesalahan dan kesilapan dirinya akan tiada masa lagi untuk menilai dan memperkatakan kesalahan orang lain. Dengan demikian jadilah ia seorang yang bijak sebagaimana yang dinyatakan dalam satu hadith Rasulullah s.a.w: 
Masjid Nabawi As-Syarif
"Seseorang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa mengira (bermuhasabah) pada dirinya sendiri dan melakukan sesuatu amal bagi kebahagiaan hidup setelah mati (yakni kehidupan akhirat).."


Lihatlah Pengorbanan Rasulullah dlm menyebarkan syiar Islam dalam animasi ini



Ditaip semula dan diubahsuai daripada Kitab Sejarah Kekeramatan 99 Wali Allah karangan Abu Mazaya Al-Hafidz

Sabtu, 27 Ogos 2011

Ibnu Hazm ~ Ulama' Yang Sibuk Bercinta

Lahirnya Seorang Ulama' teragung


Ibnu Hazm dilahirkan pada tahun 384 H / 7 November 994 M di Cordova, Sepanyol. Beliau ialah ulama fiqh dan filosofo terkenal di Andalusia pada zamannya.

Pendidik Wanita

Selama kecil, Ibnu Hazm tinggal di istana yang mewah. Ini kerana ayahnya ialah salah seorang menteri di zaman Khalifah Al-Mansur. Di dalam istana ada bahagian khas untuk kaum lelaki dan bahagian khas untuk kaum wanita. Kedua-dua bahagian ini cukup berasingan dan tidak ada jalan keluar masuk.

Di istana mewah inilah atau lebih tepatnya di bahagian sebelah wanitanya, Ibnu Hazm mendapat pendidikan awal beliau. Para wanita yang tinggal di situ mengajar beliau membaca dan menghafal Al-Quran. Kemudiannya beliau belajar menulis dan membentuk tulisan cantik.Malah mereka juga mengawal beliau dari melakukan apa sahaja perbuatan buruk dan turut mengajarnya etika hidup yang sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang anak atasan.

Bagaimanapun, kehidupan yang lunak ini tidak berpanjangan. Pada usianya 15 tahun, keluarganya ditimpa malang. Bapanya telah menjadi mangsa rebutan kuasa dalamj pemerintahan Bani Umaiyah yang memerintah Sepanyol pada waktu itu.

Allah telah mentakdirkan agar Ibnu Hazm menjadi seorang ulama dan tokoh ilmuwan yang besar dan berwibawa kerana kalau kehidupan yang lunak dan tidak  mencabar itu berpanjangan, Ibnu Hazm tidak mungkin menjadi seorang ulama sekuat itu. Biasanya kemewahan hidup yang melampau boleh menyebabkan seseorang itu lemah peribadi.

Jatuh Cinta

Ibnu Hazm pernah jatuh cinta sebanyak tiga kali. Cintanya yang pertama tumpah kepada jariah (pembantunya) lalu menikahinya ketika Ibnu Hazm berusia bawah 20 tahun.

Ketika isterinya yang lebih muda darinya itu meninggal dunia, ia larut dalam kesedihan dan menangis berbulan-bulan walaupun beliau mengatakan beliau adalah orang yang susah mengalirkan air mata. Beliau jatuh sakit sekian lama bahkan hilang sebahagian ingatannya. Namun kemudian beliau sembuh kembali.

"Demi Allah, hingga kini aku tidak pernah lagi merasai bahagia. kehidupan setelah pemergiannya tidak nyaman lagi. Aku terus mengenangnya dan tidak lagi menemukan kesenangan dari selainnya."

Sekali lagi, dengan demikian, Ibnu Hazm sendiri sibuk dalam cinta sepanjang hidupnya sebagaimana ia disibukkan oleh ilmu-ilmu agama seperti fiqih, tafsir, hadith dan teologi, bukan hanya perempuan sebagaimana tulisnya.

Ibnu Hazm menulis bahawa, 'Cinta awalnya permainan dan akhirnya kesungguhan. Ia tidak dapat dilukiskan tetapi harus dialami dan diketahui. Agama tidak menolaknya, syariat pun tidak melarangnya."

"Ketika masih remaja, aku jatuh cinta kepada seorang gadis berambut perang. Sejak itu aku tidak mengagumi  gadis berambut hitam meskipun pemiliknya berada di bawah matahari atau sangat molek. Itu kecenderunganku sejak saat itu. Diriku tidak pernah mengagumi lagi kecuali rambut perang. Itu pula kecenderungan ayahku."

Kalimah di atas merupakan pengakuan Ibnu Hazm dalam karyanya yang berjudul Tauqul Hamamah (Di Bawah Naungan Cinta). Ibnu Hazm berjaya menjadi sasterawan yang cukup disegani. Bukunya itu menjadi buku terlaris sepanjang abad pertengahan. Buku itu bukan sahaja menarik perhatian umat Islam tetapi juga kaum Nasrani di Eropah.

Padahal Ibnu Hazm dikenali sebagai salah satu ulama tersohor di abad pertengahan.

Menurut kenyataan Ibnu Hazm, cinta pertamanya bersemi ketika berusia 18 tahun. Sementara gadis pujaannya yang berambut perang berumur 16 tahun. Gadis itu begitu dikaguminya. Beliau menyatakan bahawa pujaannya itu seorang yang cantik, bertabiat baik, dan bertubuh sintal. Si gadis itu pun pandai menyanyi dan memetik kecapi yang menjadi kebiasaan ketika itu.

Ibnu Hazm tergila-gilakannya. Setiap hari beliau selalu menanti gadis itu melalui hadapan rumahnya. Seperti kisah remaja pada umumnya, kisah cinta Ibnu Hazm tiak kurang hebatnya, penuh dengan romantika. Jika dikejar, si gadis berlalu dengan malu-malu dan rona wajahnya menjadi merah. Tentang kelakuannya itu, Ibnu Hazm menulis: "Saya ingat bagaimana ketika saya selalu pergi ke ruangan tempat dia tinggal. Rasanya saya selalu ingin menuju pintu itu agar dapat dekat dengannya. Apabila dia melihat saya berhamporan pintu, denga lemah lembut dia pergi ke tempat lain. Saya pun mengekorinya hingga ke pintu ruangan tempat dia berada."

Ibnu Hazm, sebagaimana semua ulama' menyatakan bahawa cinta yang terbesar adalah cinta kepada Allah dan cinta sesama manusia yang dijalin kerana Allah SWT. Cinta sesama manusia, antara lain cinta antara lawan jenis jika terjalin kerana Allah pasti diliputi oleh kesetiaan dan kesucian.

Ibnu Hazm seorang pakar hukum Islam menulis pengalaman peribadinya yang lain: "Seandainya bukan kerana keyakinan bahawa dunia ini adalah tempat ujian dan negeri kekeruhan, sedangkan syurga aalah tempat ganjaran, kita akan berkata bahawa hubungan harmonis antara kekasih merupakan kebahagiaan tanpa kekeruhan, kegembiraan tanpa kesedihan, kesempurnaan cinta dan puncak harapan."

Tugu Ibnu Hazm yang diabadikan
Selanjutnya, ulama besar itu berkata: "Aku telah merasakan kelazatan dengan aneka ragamnya. Aku juga telah meraih pelbagai keuntungan. Tidaklah berada dekat kepada penguasa, tidak juga wujud setelah ketiadaan atau kembali ke pangkuan setelah berpergian jauh dan tidak juga rasa aman setelah mengalami rasa takut atau memperolehi harta yang dimanfaatkan, tidaklah semua itu, seindah hubungan harmonis/ asmara dengan kekasih/ lawan jenis kita.

Memandang Cinta


Menurut Ibnu Hazm, Cinta itu sukar dihuraikan. Tetapi pada orang yang jatuh cinta terdapat petanda.

Pertama, asyik memandang orang yang dikasihi.

Kedua, segera menuju ke tempat yang kekasih berada, sengaja duduk di dekatnya dan mendekatinya.

Ketiga, gelisah dan gugup ketika seseorang yang mirip dengan orang yang dicintainya.

Keempat, kesediaan untuk melakukan hal-hal yang sebelumnya enggan dilakukannya.

Adapun yang mencoreng cinta menurut Ibnu Hazm adalah melakukan maksiat dan menuruti hawa nafsu.





Wafatnya


Ibnu Hazm wafat pada tahun 456 H / 1064 M.








Ditaip semula dan diubahsuai daripada Kitab Lembaran Hidup Ulama' Warisan Ilmuwan Islam, karangan Muhammad Abdullah Suradi 

Kisah Wanita Solehah: Rabiatul Adawiyah

Perginya Wanita Sufi

Apabila sudah tiba ajalnya, Rabi'ah akan meninggalkan dunia ini. Orang-orang yang menunggunya meninggalkan biliknya dan menutup pintu bilik itu dari luar. Setelah itu mereka mendengar sebuah suara yang berbunyi, "Wahai jiwa yang damai, kembalilah kepada Tuhanmu dengan berbahagia."

Beberapa saat kemudian tiada lagi suara yang kedengaran dari dalam bilik Rabi'ah. Lalu mereka membuka pintu bilik itu dan mendapatkan Rabi'ah yang telah pulang ke Rahmatullah.

Setelah Rabi'ah meninggal dunia, ada yang bertemu dengannya dalam sebuah mimpi. Rabi'ah ditanya,
"Rabi'ah, bagaimana engkau menghadapi malaikat Munkar dan Nakir?"

Rabi'ah menjawab: "Kedua malaikat itu datang kepadaku dan bertanya, "Siapakah Tuhanmu? Aku menjawab, "Pergilah kepada Tuhanmu dan katakan kepadaNya: Di antara beribu-ribu makhluk yang ada, janganlah Engkau melupakan seorang wanita tua yang lemah. Aku hanya memiliki Engkau di dunia yang luas, tak pernah lupa kepadaMu, tetapi mengapakah Engkau mengirimkan utusan sekadar menanyakan siapa Tuhanmu kepadaku".

Doa-Doa Wanita Sufi

"Ya Allah, apapun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di dunia ini, berikanlah kepada musuh-musuhMu, dan apapun yang akan Engkau kurniakan kepadaku di akhirat nanti, berikanlah kepada sahabat-sahabatMu, kerana Engkau sendiri cukuplah bagiku."

"Ya Allah,  jika aku menyembahMu kerana takut kepada neraka, bakarlah aku di dalam neraka, dan jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurga, maka haramkanlah aku dari memasukinya, tetapi jika aku menyembahMu demi Engkau semata-mata, janganlah Engkau enggan memperlihatkan wajahMu yang abadi kepadaku."

"Ya Allah, semua jerih payahku dan semua hasratku di antara segala kesenangan dunia ini adalah untuk mengingati Engkau. Dan di akhirat nanti, di antara segala kesenangan akhirat, adalah untuk berjumpa denganMu. Begitulah halnya dengan diriku, seperti yang telah kukatakan. Kini perbuatlah seperti yang Engkau kehendaki."

Apa yang dapat diambil sebagai pengajaran dan iktibar dari kisah wanita sufi ini ialah tentang prinsip-prinsip ikhlas dalam beramal soleh, rasa cinta atau mahabbah terhadap Ilahi Rabbi yang mengatasi seluruh kecintaan terhadap yang lain, serta redha terhadap segala apa jua yang menjadi ketentuan dan takdir Allah S.W.T ke atas seluruh hamba-Nya. Ketiga prinsip inilah seterusnya dikembangkan oleh golongan sufi.





Jumaat, 26 Ogos 2011

Sheikh Abdullah Fahim: Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara


Sheikh Abdullah  Fahim

Sheikh Abdullah Fahim dilahirkan pada tahun 1870 di Makkah, Arab Saudi di satu tempat yang tidak jauh dari Masjidil Haram yang bernama Syuib Ali. Namun ada pihak yang mengatakan ulama terkenal ini dilahirkan di Kampung Kubur Panjang, kira-kira 32 kilometer dari Alor Setar, Kedah.

Sheikh Abdullah Fahim adalah anak kedua daripada empat orang adik-beradik. Bapanya Sheikh Ibrahim bin Haji Tahir dan bermastautin di Makkah dan menjadi guru agama di Masjidil Haram dalam bidang pengajian al-Quran. Semasa hayatnya, Sheikh Ibrahim Tahir juga pernah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengelola Masjidil Haram selama 7 tahun. Kedua beranak ini dikenali oleh masyarakat Makkah sebagai keturunan Jawa dan Petani.

Sheikh Abdullah Fahim pernah menuntut dengan 45 orang guru agama yang terkenal dan mendapat kelulusan dalam lebih 15 bidang ilmu Islam. Kemahiran utama datuk kepada perdana Menteri Malaysia kelima ini adalah dalam bidang ilmu Falak dan Kesusateraan Arab. Sewaktu berada di Makkah, beliau mengambil kesempatan memepelajari ilmu politik Islam.

Semasa tinggal di Makkah, Abdullah Fahim mendirikan rumah tangga dengan Hajjah Habsah Haji Abdullah. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Ghazali dan Ahmad Badawi. Ghazali dan ibunya, Wan Habsah meninggal dunia di Makkah.

Dalam bidang agama, Abdullah Fahim mengajar ilmu usuluddin, falak, tafsir Al-Quran dan Hadis di Masjidil Haram. Pelajarnya terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk yang berasal dari Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Jawa, Pattani, Filipina, India dan China. Disebabkan kemasyhurannya, apabila pulang Tanah Melayu pada tahun 1921, Abdullah Fahim sering di undang memberi ceramah atau pendapat pada  seminar dan forum mengenai Islam. Ketinggian ilmu yang beliau miliki turut diakui oleh ulama terkenal Indonesia, Profesor Dr. Hamka.

Prof Dr. Hamka, Ulama terkenal Indonesia

Sekembalinya beliau ke Tanah Melayu pada tahun 1921, Abdullah Fahim tinggal di Kampung Limbong Kapal, Alor Setar, Kedah dan menjadi guru di Maahad Mahmud yang ketika itu menggunakan sistem pendidikan secara pondok. Pada peringkat awal kepulangan beliau ke tanah air, beliau terpaksa menggilap semula kemahirannya berbahasa Melayu kerana sudah sekian lama tidak mengamalkan bahasa itu.

Selepas menetap di Kedah selama beberapa tahun pada tahun 1925, beliau berpindah ke Kepala Batas, Seberang Prai, Pulau Pinang. Semasa mula-mula tinggal di Kepala Batas beliau mengajar agama di anjung rumahnya dan di Masjid Kepala Batas. Apabila jumlah muridnya semakin bertambah, ulama yang merupakan Mufti pertama Pulau Pinang ini mengasaskan penubuhan Madrasah Daeratul Maarif Al-Wataniah di Kepala Batas yang tenaga pengajarnya termasuklah anak beliau sendiri, Ahmad Badawi.

Masjid Badawi, Kepala Batas

Pendek kata, sepanjang hayatnya, Sheikh Abdullah Fahim telah menggunakan segala ilmu yang dikurniakan Allah kepadanya untuk memberi manfaat kepada umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Jariah yang beliau curahkan itu mengalir hingga ke hari ini apabila ramai muridnya menjadi guru agama, mufti, qadi dan sebagainya yang mencurahkan khidmat bakti demi kesejahteraan masyarakat di dunia dan akhirat.

Sifat Peribadi Abdullah Fahim

Dalam kehidupan hariannya, Sheikh Abdullah Fahim adalah seorang yang mudah bergaul dan amat disayangi oleh penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Pernah dikatakan bahawa pekedai-pekedai di sekitar Pulau Pinang biasanya amat bertuah sekiranya Sheikh Abdullah Fahim masuk ke kedai mereka tetapi akan merasa bimbang sekiranya barang di kedai mereka itu dikatakannya mahal, maka alamatnya jualan pekedai itu pada hari itu akan merosot. Begitu pula sebaliknya pekedai selalu berharap Sheikh Abdullah Fahim akan masuk ke kedai mereka kerana kehadirannya menjadi petanda bahawa jualan mereka pada hari itu akan laris.

Itulah antara keistimewaan yang dimiliki oleh Sheikh Abdullah Fahim yang merupakan seorang wali yang amat dihormati oleh penduduk Pulau Pinang terutamanya Seberang Prai dan Kepala Batas.

Sumbangan Abdullah Fahim Yang Berharga (Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara)

Nama Sheikh Abdullah Fahim juga berkait rapat dengan kemerdekaan Tanah Melayu kerana beliaulah tokoh yang diberi kepercayaan untuk memilih tarikh yang dirasakan serasi untuk dikemukakan kepada pihak Inggeris.

Dipendekkan cerita (rujuk sejarah kemerdekaan Negara), atas nasihat Abdullah Fahim dan kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman, akhirnya seperti yang terakam dalam sejarah tanah air, Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1997. Tarikh keramat ini sebenarnya bukan dipilih dengan sesuka hati oleh Abdullah Fahim tetapi melalui ilmu firasat yang beliau miliki. Tarikh inilah yang kini dirayakan setiap tahun oleh seluruh rakyat Malaysia yang menghargai erti kemerdekaan.

Hiasan Semata-mata

Mungkin juga tidak ramai yang mengetahui bahawa pada pertemuan membincangkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu itu, Abdullah Fahim memberitahu Tunku selepas 5 tahun Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan, negara ini akan bertukar namanya. Ramalan yang dibuat berdasarkan ilmu firasat yang beliau miliki itu ternyata benar apabila dengan kehendak Allah jua, Tanah Melayu bertukar namanya kepada Malaysia 5 tahun selepas kemerdekaannya.

Walaupun ramai yang kagum dengan kelebihan yang dimiliki oleh Sheikh Abdullah Fahim tetapi bagi beliau dan ahli keluarganya, semua itu pemberian Allah kepada sesiapa jua yang dikehendakiNya.

Tibanya Ajal Beliau

Akhirnya sampailah sudah kesudahan riwayat hidup seorang ulama dan tokoh kemerdekaan yang terkenal dan tiada tandingannya. Sheikh Abdullah Fahim menghembuskan nafas terakhir pada 28 April 1961 pada pukul 8 pagi di rumahnya di Kepala Batas. Ketika itu, usia beliau sudah 92 tahun. Jenazah beliau disemadikan di tanah perkuburan di perkarangan Masjid Kepala Batas, Pulau Pinang.

Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah)
Sheikh Abdullah Fahim meninggalkan seorang anak iaitu Ahmad Badawi dan beberapa orang cucu yang diantaranya ialah Perdana Menteri Malaysia kelima, Datuk Seri Abdulllah Ahmad Badawi.

Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas rohnya. Amin.

  Ditaip semula dan di ubahsuai daripada Kitab Lembaran Hidup Ulama' - Warisan Ilmuwan Islam